Along With The Gods: The Two Worlds Filem Korea Tentang Akhirat

Along With The Gods: The Two Worlds.

Inilah contoh filem dakwah yang memudahkan pemahaman serta tidak mengajar-ajar dan menghukum-hukum penonton, walaupun temanya berkisarkan hukuman.

Pivot point = petikan ayat daripada kitab Buddha tentang kehidupan selepas kematian. Dalam tempoh 49 hari sesudah nyawa dicabut, penganut mereka akan melalui tujuh pengadilan dosa ketika di dunia. Yang berjaya melepasi kesemua pengadilan itu akan dianugerahkan dengan kelahiran semula (reincarnate).

Sudah tentu ini bukan kepercayaan ajaran Islam. Tidak perlu dibahaskan pun. Umat Islam yang belajar dan diajar agama termasuk hal ehwal alam barzakh dan hari akhirat pasti tahu ini.

Hanya, ada persamaan yang menjadikan filem ini memberi kesan keinsafan kepada kebanyakan penonton yang menganut agama wahyu.

• Setiap kelakuan di dunia, direkodkan oleh malaikat dan ditayang semula semasa pengadilan di akhirat.

• Orang yang kelihatan mulia di dunia, dipuja puji kebaikannya, belum tentu sifar dosa.

• Orang yang dipandang jahat dan keji, sentiasa ada kebaikan-kebaikan kecil yang menjarakkan dia daripada hukuman neraka.

Ya. Ini sangat deep. Sangat mengesankan.

Seawal dialog yang dituturkan oleh Haewonmaek apabila mendapati Kim Ja Hong yang dikatakan paragon (manusia sempurna) sebaik mati, tiba-tiba dibawa terus ke Neraka Pembunuh untuk pengadilan pertama.

“Itulah! Jangan sebarangan tulis komen di internet. Semuanya dicatat!”

Fuh.

Teringat, ada rakan saya pernah memberitahu, dia dimarah oleh seseorang kerana gemar menulis doa di Facebook. Orang itu mengatakan, “Nak berdoa, atas sejadahlah. Allah tak baca FB!”

Allahu. Berkuat kami memaafkan kejahilan orang itu. Semoga sekarang dia sudah insaf. Amin.

Teringat juga kepada filem Korea, Socialphobia. Gadis bunuh diri akibat buli siber. Ya, kita memang tidak membunuh menggunakan pisau ataupun pistol. Namun, kita boleh jadi pembunuh yang bersenjatakan papan kekunci. Semua ini, Allah lihat, malaikat catat, dan kita dapat sahamnya.

Nauzubillahi min zalik.

Lagi perkara yang mengesankan dan ada persamaan:

• Orang yang melakukan kesalahan dan sudahpun dimaafkan oleh orang yang dianiaya semasa di dunia, tidak akan diadili lagi di akhirat.

• Dendam (dan saya anggap hutang termasuk sekali) yang tidak selesai di dunia, akan mengganggu perjalanan manusia untuk ke syurga.

• Kebaikan-kebaikan yang sedikit mampu menghapuskan dosa-dosa kecil.

Saya amat percaya, setiap agama di dunia ini mengajarkan kebaikan kepada penganutnya. Tidak ada agama yang menyuruh umat berbuat jahat dan kerosakan. Kalau ada pun, pasti itu daripada kitab yang sudah dipesongkan. Jadi, tidak hairanlah karya dakwah agama lain ada persamaan mesej dengan agama yang kita pegang.

Filem kerohanian begini, mampu menduduki tempat kedua dalam carta filem paling laris dalam sejarah perfileman Korea Selatan. Jauh menewaskan Battleship Island dan Train To Busan. Dan kedudukan pertama masih lagi filem sejarah, The Admiral: Roaring Currents, sejak 2014 belum tergugat.

Pengarah dan penulis skrip Kim Yong Hwa mengadaptasi filem ini daripada webtoon karya Joo Ho Min, dengan membawa lari kepercayaan karya dakwah itu mesti serius, marah-marah, berceramah, berkata-kata puitis, dan dibikin sekadar ada.

Juga, berilah tema apapun, mesej utama filem dan drama Korea Selatan ialah kekeluargaan. Bangsa yang dilimpahi kemewahan moden, sentiasa diuji dengan kemanusiaan yang semakin pudar. Maka daripada karya-karya ini, kita nampak usaha keras mereka untuk menyeimbangkan teknologi dengan sifat manusiawi.

Saya menunggu lagi filem dakwah kreatif kita selepas Syukur 21 dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang. Karya kreatif Melayu-Islami yang kurang bau Arab-nya dan tidak pula bergantung pada unsur cinta lelaki-perempuan untuk menarik penonton.

Mahu capai kemampuan teknologi secanggih CGI Along With The Gods, mungkin entah bila. Namun, harapan tetap ada. Optimis! Kamon!

Saya doakan, lebih banyak pengkarya Muslim menghasilkan karya dakwah sekreatif Along With The Gods, sama ada berbentuk filem, drama, novel, mahupun cerpen. Amin!

Azzah Abdul Rahman


Sumber Along With The Gods: The Two Worlds Filem Korea Tentang Akhirat

Post a Comment

Previous Post Next Post