KUALA LUMPUR, 31 Mac ― Pengarah filem mempertahankan Datuk Adi Putra memegang watak utama filem Mat Kilau walau pelakon itu berasal dari Singapura.
Syamsul Yusof berkata Adi memenuhi ciri-ciri yang sesuai dan mampu menjiwai watak pejuang Tanah Melayu dari Pahang, lapor mStar Online.
“Saya faham mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kami pilih Adi dan bukan pelakon asal negeri tersebut untuk bawa watak Mat Kilau?
“Pemilihannya adalah kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dan saya yakin dia sebagai pelakon berpengalaman akan membawakan watak ini dengan baik,” katanya.
Filem itu turut dibintangi Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A Galak, Yayan Ruhiyan dan Nadiya Nisaa.
Menelan belanja RM5 juta, penggambaran mula dijalankan 1 April depan sekitar Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
Sumber Asal Singapura, pengarah pertahan Adi Putra jadi Mat Kilau
Tags:
PMMO