CPTPP penting untuk majukan negara - Mustapa

KOTA BHARU: Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dimeterai di Santiago, Chile semalam, penting untuk memajukan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, Malaysia harus menjadi sebahagian daripada sistem ekonomi dunia, dan antara kaedahnya ialah menyertai perjanjian perjanjian di peringkat serantau dan global.

"Kita tahu bahawa masih ada kebimbangan dalam kalangan rakyat... kita sudah jelas dan kita tahu kita tidak mampu untuk meyakinkan semua 100 peratus (rakyat), namun secara keseluruhannya, kita yakin perjanjian ini baik untuk Malaysia dan dunia.

"Ada satu kumpulan yang membantah CPTT, dan datang ke pejabat MITI, namun penentangan itu tak seperti dulu. Maknanya rakyat semakin faham bahawa ini penting dalam konteks perdagangan dan konteks memajukan negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Pembangunan Insan di Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad yang juga anggota panel dialog.

Dialog itu dihadiri kira-kira 2,000 guru pendidikan agama.

CPTPP dianggotai 11 negara iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Mustapa sebelum ini mengumumkan Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri J. Jayasari yang juga Ketua Perunding, mewakili Malaysia pada pemeteraian CPTPP di Santiago. - BERNAMA



Sumber CPTPP penting untuk majukan negara - Mustapa

Post a Comment

Previous Post Next Post