AMPANG, 25 Mac — Seorang gadis berusia 17 tahun dipercayai melarikan diri bersama seorang lelaki warga asing sejak Rabu lalu.
Ibu saudara kepada Farah Gita Saito berkata lelaki itu menghubunginya memberitahu mahu mengahwini gadis tersebut, lapor Harian Metro.
Namun wanita dikenali Zuraidah, 48, melarang lelaki terbabit bertemu Farah yang tinggal bersamanya di Ampang Jaya sejak dua bulan.
“Saya yakin lelaki Bangladesh itu melarikan Farah selepas saya menghalang hasratnya untuk mengahwini anak saudara saya itu,” katanya.
Kali terakhir Zuraidah melihat anak saudaranya pada jam 11 pagi, sewaktu keluar bekerja di restoran yang sering disinggahi lelaki itu.
Namun wanita itu dimaklumkan bahawa Farah tidak hadir ke tempat kerja pada hari itu. Farah memakai kemeja-T jingga, seluar denim dan bertudung hitam.
“Saya menghubunginya, namun panggilan tidak berjawab dan telefon bimbitnya juga sudah dimatikan,” kata Zuraidah, yang membuat aduan polis.
“Saya bimbang dengan keselamatan Farah di luar sana,” katanya sambil mengakui gagal menjejaki anak saudara tersebut melalui bantuan rakan.
Sementara itu ketua polis daerah Ampang Jaya mengesahkan menerima laporan itu dan sedang menjejaki “orang hilang” itu sehingga menemui petunjuk baru.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu boleh menghubungi polis atau tampil ke balai polis berhampiran,” kata ACP Hamzah Alias.
Sumber Gadis lari ikut lelaki asing, ibu saudara lapor polis