Malam tadi gempar apabila Masjid Jamek Sungai Plong, Sungai Buloh dimasuki oleh seekor babi hutan dan pagi tadi aktiviti pembersihan dan samak telah selesai dilakukan.
Imam 3 Masjid Jamek Sungai Plong, Mohamed Rahmat Ahmad Buhari, 31, ketika dihubungi Utusan Online berkata, kerja-kerja menyamak dan membersihkan masjid bermula pada jam 10 pagi dan selesai pada 1.30 tengah hari.
Tambah beliau lagi, kerja-kerja pembersihan dan proses menyamak telah dikawal selia oleh wakil Jabatan Mufti Selangor dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang turut hadir pagi tadi.
Rahmat juga mengatakan, tiga per empat daripada kawasan masjid tersebut telah dicemari dengan darah babi hutan tersebut dan kerja-kerja pembersihan dimulakan dengan membersihkan kesan-kesan darah yang ada di lantai dan dinding masjid.
“Babi ini telah cedera dan berdarah ketika masuk ke dalam kawasan masjid. Atas nasihat Jabatan Mufti Selangor dan JAIS kita buang karpet yang dicemari dengan darah babi berkenaan. Turut dibuang sebuah kipas dan dua buah kerusi yang rosak akibat disondol babi itu.
“Selesai membersihkan darah pada dinding dan lantai. Kita memulakan proses menyamak dengan membasuh mengunakan air tanah sekali dan enam kali air bersih,” kata Mohamed Rahmat.
“Babi tersebut cedera di luar kawasan masjid dan menjadi berang. Dia cuba mengejar kanak-kanak yang berada di luar masjid. Kanak-kanak tersebut yang ingin menyelamatkan diri lari masuk ke dalam masjid.
“Tindakan kanak-kanak tersebut adalah betul dan babi berkenaan mengejar mereka sehingga ke dalam masjid,” kata Mohamed Rahmad.
Kerja-kerja pembersihan turut dibantu oleh sepasukan anggota bomba seramai 15 orang dan dua buah jentara bomba.
“Malam tadi kita solat Isyak berjemaah di kawasan yang tidak dicemari oleh babi hutan tersebut,” jelas Mohamed Rahmad mengenai gambar jemaah bersembahyang di dalam masjid malam tadi.
Kejadian seekor babi hutan jantan tersesat masuk ke dalam masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat ba’diyah Maghrib hingga mencederakan seorang jemaah itu tular di media sosial.
Sumber Gambar: Masjid dimasuki babi hutan selesai disamak, JAIS dan Jabatan Mufti Selangor kawal selia proses pembersihan