Penceramah bebas terkenal, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menegur pengurusan masjid yang segera menukar permaidani selepas dimasuki babi hutan dua hari lalu.
Menurutnya, tindakan itu tidak langsung menggambarkan bahawa agama Islam itu agama yang mudah sebaliknya sebagai agama yang menyusahkan penganutnya.
“Saya merasa amat pelik dengan cara kita memahami Islam, agama begitu luas menjadi begitu sempit. Babi dilihat sebagai bukan makhluk ciptaan Allah.
“Bayangkan apabila orang bukan Islam membaca berita itu, pasti mereka berkata susah sungguh Islam ini. Padahal ia adalah agama yang mudah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengulas kejadian seekor babi hutan yang memasuki masjid Sungai Plong di Sungai Buloh ketika jemaas sedang menunggu waktu Isyak.
Ekoran daripada kejadian itu, masjid melupuskan permaidani lama dan menggantikan dengan baru yang menelan belanja sehingga RM34,000.
Ridhuan berkata, ada kaedah yang lebih mudah bagi menyucikan najis babi dan malah boleh merujuk kepada mazhab yang lain.
“Lebih baik jika jumlah itu digunakan untuk menderma kepada rakyat Syria dan Palestin, atau mereka yang lebih memerlukan termasuk di kalangan orang bukan Islam.
“Tidakkah ia lebih memberi kebaikan kepada dakwah?” soal Ridhuan.
Kejadian itu, kata Ridhuan lagi, menunjukkan masalah segelintir umat Islam dalam soal meletakkan keutamaan.
Sebagai contoh, beliau membandingkan status haram bagi babi dan kesalahan rasuah yang baginya jauh lebih memudaratkan.
“Kenapa sanggup berhabis sebanyak RM34 ribu hanya kerana seekor babi? Permaidani itu pula masih boleh digunakan.
“Haramnya babi, ia tidak seberat haramnya rasuah. Jika terpaksa memilih antara babi dan rasuah, saya lebih rela makan babi,” katanya lagi.
Sumber: SK
Sumber “Jika terpaksa memilih antara babi dan rasuah, saya lebih rela makan babi” – Dr Ridhuan tegur pengurusan masjid belanja RM34,000 tukar karpet lepas dimasuki babi hutan