Harga minyak turun

SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini, ditarik turun pasaran saham yang lemah selepas penyokong utama perdagangan bebas dalam kerajaan Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan.

Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa Washington berkemungkinan akan meneruskan cadangan mengenakan tarif import ke atas keluli dan aluminium dan terdedah kepada perang perdagangan.

Peningkatan pengeluaran minyak mentah AS dan peningkatan inventori turut menarik turun harga minyak mentah, kata peniaga.

Gary Cohn, penasihat ekonomi kepada Presiden Donald Trump, yang dilihat sebagai penyokong kuat perdagangan bebas dalam kerajaan AS, semalam berkata beliau meletak jawatan, mencetuskan kejatuhan lebih satu peratus dalam dagangan hadapan S&P 500 pada awal.

Minyak mentah menyusuli, dengan dagangan hadapan Brent susut 51 cent, atau 0.8 peratus, daripada AS$65.28 satu tong sebelumnya.

West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$62.13 satu tong, turun 47 cent, atau 0.75 peratus.

"Ketidaktentuan daripada peletakan jawatan Cohn... mungkin menyaksikan harga minyak turun lebih rendah dalam sesi dagangan hari ini," kata Stephen Innes, ketua perdagangan Asia Tenggara di OANDA di Singapura.

Kuasa besar, termasuk Kesatuan Eropah dan China, sebelum ini memberi amaran tarif yang akan dikenakan itu boleh menjurus kepada langkah tindak balas dan mencetuskan perang perdagangan global, yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan penggunaan minyak.

Peniaga juga berkata harga minyak turut dipengaruhi peningkatan inventori minyak mentah AS.

Inventori minyak mentah meningkat sebanyak 5.661 juta tong dalam seminggu kepada 426.880 juta tong, demikian menurut data American Petroleum Institute (API). - Reuters



Sumber Harga minyak turun

Post a Comment

Previous Post Next Post