'Hentilah mencerca, menghina, setidak-tidaknya dia mengakui kesilapannya dan bermaafan dengan amah yang dipukul' - Ustaz Amru

Kes seorang wanita yang mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga mengalami kecederaan yang serius tahun lalu menimbulkan pelbagai reaksi negatif dari netizen. Keputusan awal mahkamah menetapkan Rozita hanya dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun selepas mengaku bersalah di atas tuduhan tersebut. 
Bagaimanapun, netizen tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan badan peguam juga turut membantah hukuman yang dianggap terlalu ringan sebelum kes dibicarakan semula dan mahkamah menetapkan Rozita dipenjara selama 8 tahun. 
Meskipun begitu, masih ramai yang menghina dan mencerca beliau. Tampil seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai guru kepada Rozita, meminta netizen berhenti dari terus mencerca dan menghina pelajarnya itu. 
'Datin' dipenjara 8 tahun - Hentilah mencerca dan menghina
HARI ini saya rasa terpanggil untuk menulis tentang isu yang sedang panas sejak seminggu. Rata-rata beribu komen semuanya menghentam, menghina dan menghukum Rozita disebabkan tindakannya mendera amah sehingga cedera parah. Tidak kurang netizen yang berasa puas setelah hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun bermula hari ini. 
Saya bukanlah menulis untuk membela tindakan yang dilakukan oleh Rozita, yang salah tetap salah. Cuma dari satu sudut eloklah kita bermuhasabah dan mengambil iktibar bahawa ujian Allah SWT kepada hambanya bermacam-macam dan ada hikmah setiap aturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Dialah yang mengetahui segala rahsia. 
Kadang-kala satu ujian yang ditimpa kepada seseorang hamba itu bertujuan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Kita boleh ambil contoh dan pengajaran daripada kisah Nabi Musa AS dalam surah al-Qasas ayat 15-16 di mana baginda pernah memukul seorang pemuda dari bangsa Qibti sehingga mati disebabkan hasutan daripada Syaitan.
Kemudian baginda berdoa memohon keampunan dan diampunkan oleh Allah SWT. Akhirnya Allah SWT memuliakannya dengan mengangkat Nabi Musa AS menjadi seorang nabi.
Saya mengenali Rozita ini kerana beliau adalah salah seorang pelajar yang bertalaqi al-Quran dengan saya. Jangan disebabkan satu kesilapan yang dibuat sehingga kita lupa beribu kebaikan yang pernah dibuat. 
Sepanjang saya mengenali Rozita ini sebagai salah seorang daripada puluhan pelajar, dia adalah seorang wanita yang amat baik. Dia merupakan pelajar talaqi al-Quran saya selama dua tahun. Dalam kelas dia merupakan pelajar yang sentiasa hadir awal dan duduk di hadapan untuk menuntut ilmu. Setiap kali bulan Ramadhan wanita inilah antara jemaah yang terawal menghantar kurma ke masjid-masjid termasuk Masjid Negara.
Ketika saya ke Satun Thailand, wanita ini jugalah yang menyumbang wang terbanyak untuk kerja pembinaan surau di sana. Pada bulan Ramadhan beliau sangat rajin ke masjid dan mengikuti qiamullail. 
Ya, mungkin peristiwa yang terjadi ini merupakan titik hitam bagi Rozita, kadang kala tidak terlintas di benak kita untuk melakukan satu tindakan yang kita pun tidak sangka. 
Saya tidak ingin mengulas tentang kes kejadian dera ini kerana telah dibicarakan dan diputuskan mahkamah. Media mensensasikan berita untuk melariskan akhbar dengan gelaran “Datin” sedangkan selama kami mengenali Rozita dia tidak ada apa-apa gelaran dan belum berkahwin.
Sebagai seorang guru, saya ada berhubung dengan Rozita beberapa hari lepas dan memberi sedikit semangat untuk beliau tabah menghadapi ujian. 
Walaupun Rozita dicerca atas kesilapannya setidak-tidaknya dia mengakui kesilapannya, sudah bermaaf-maafan dengan amah yang dipukul, banyak merintih dan mengadu nasibnya kepada Allah SWT barangkali kedudukannya kini lebih tinggi di sisi Allah SWT berbanding kita yang tidak habis mencemuh ntah tidak tahu nasib kita bagaimana dan apa ujian yang akan bakal kita tempuhi.


Sumber 'Hentilah mencerca, menghina, setidak-tidaknya dia mengakui kesilapannya dan bermaafan dengan amah yang dipukul' - Ustaz Amru

Post a Comment

Previous Post Next Post