Kajian dapati BN mampu rampas Sandakan, Kota Kinabalu dari DAP, kata Ramlee

Ramlee Marahaban berkata kajian sikap mendapati rakyat Sabah di situ menunjukkan kecenderungan kepada BN.

Gambar twitter

SEMPORNA: Umno Sabah yakin Barisan Nasional (BN) bukan sahaja dapat mengekalkan 22 kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-13 tetapi merampas kembali kerusi pembangkang tertentu pada PRU14.

Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata Parlimen Sandakan dan Kota Kinabalu yang dimenangi DAP pada PRU lepas mampu dirampas BN.

Ini berdasarkan dapatan kajian sikap terhadap keyakinan rakyat di negeri ini yang masih menunjukkan kecenderungan terhadap Umno dan BN kerana hasil usaha tulus yang ditunjukkan kerajaan pusat dan negeri dalam menyantuni rakyat.

“Daripada peratusan kajian sikap rakyat Sabah sangat bagus, misalnya kita melihat kepada pengundi di Semporna merangkumi DUN Bugaya, Senallang dan Sulabayan.

“Kajian sikap ini dilaksanakan oleh agensi tertentu dan kesemua peratusan kajian antara agensi ini realistik dan selari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ziarah Sekampung di Kampung Lahat.

Pada PRU13, BN memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan antaranya Tawau, Semporna, Silam dan Kalabakan.

Ramlee berkata program “Simulasi PRU14: Taklimat ‘Dry Run’ PRU” yang diadakan di setiap Parlimen di Sabah merupakan penunjuk parameter terakhir persiapan BN negeri dengan tumpuan untuk menang.

“Siap siaga jentera kita di seluruh Sabah sudah 100% dan kita sedia gempur,” katanya lagi.

Mengenai program Ziarah Sekampung, Ramlee berkata, aktiviti menyantuni rakyat itu aktiviti berterusan jelajah Semporna yang dilaksanakan BN.

“Kita tidak ada minggu menyantuni rakyat, baik jelajah kasih atau apa nama program sekali pun, kerana setiap masa di Semporna tetap BN bantu rakyat,” katanya yang turut menzahirkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda, Wanita dan serta Puteri Umno yang turun ke lapangan bertemu rakyat.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Kajian dapati BN mampu rampas Sandakan, Kota Kinabalu dari DAP, kata Ramlee

Post a Comment

Previous Post Next Post