BUTTERWORTH, 31 Mac — Sebanyak 41 motosikal musnah manakala empat kereta rosak dalam kebakaran di Wisma Telaga Air, Jalan Telaga Air di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, PBK II Abdul Majid Osman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.52 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth bergegas ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan 41 unit motosikal dan empat buah kereta yang ditempatkan di ruangan parkir kenderaan terbuka di flat berkenaan. Semua motosikal itu musnah keseluruhan manakala empat kereta berkenaan hanya terbakar 20 peratus di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sehingga kini tiada saksi yang tampil memberi maklumat dan tempat kejadian juga tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau berkata pihaknya akan meneruskan siasatan dan mengenal pasti sama ada terdapat unsur lain terlibat dalam kejadian.
“Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kebakaran tersebut dimohon untuk tampil bagi membantu polis menjalankan siasatan,” katanya. — Bernama
Sumber Kebakaran di parkir: 41 motosikal musnah, empat kereta rosak