“Lagu Mambang Bukan Untuk Malique, Tapi Diri Sendiri” – Altimet

“Lagu Mambang Bukan Untuk Malique, Tapi Diri Sendiri” – Altimet

Lagu untuk diri sendiri. (Pic: Mohamad Bakar)

Altimet menafikan sekeras-kerasnya yang lirik buah tangan terbarunya, Mambang ditujukan kepada bekas anggota kumpulan Too Phat iaitu Malique. Kehangatan lagu berkenaan mula diperkatakan kebelakangan ini ekoran netizen pantas mengandaikan lirik lagu Mambang memang dianggap cuba menyindir Malique.

Malah tidak kurang juga yang melihat usaha lelaki bernama penuh itu Ahmad Abdul Rahman ini cuba berlaku sinikal supaya rapper berkenaan keluar dari ‘kepompong persembunyian’ dan kembali berkarya menghangatkan irama hip hop. Umum tahu, Malique sudah beberapa tahun dilihat menyepi sedangkan ramai yang tertunggu-tunggu karyanya menghangatkan persada muzik tempatan.

Lagu itu monolog dengan diri sendiri.

Berkongsi hal itu kepada Rojak Daily Kaw! Altimet percaya orang boleh serkap jarang tanpa usul periksa. Baginya netizen bebas membuat andaian. Hakikatnya hal sebenar hanya dirinya dan pengurusan saja tahu.

“Ikutkan saya sudah jelaskan lagu ini mengenai apa dan siapa di laman Twitter. Siap panjang lebar lagi. Tapi masih ada yang tetap dengan pandangan mereka seolah-olah saya cuba menyindir rapper itu. Jadi saya tak boleh buat apa-apa lagi. Terpulanglah. Yang nyata, lagu ini ia sebenarnya mengenai diri saya yang dulu yang bercakap dengan diri saya sekarang. Ia seperti monolog. Seolah-olah saya berlawan dengan diri sendiri.

Antara saya yang dulu dan saya yang sekarang.

“Lagu ini dirakamkan setahun lalu. Ia terhasil daripada perbualan saya dengan kawan yang melihat sejauh mana perjalanan seni dan hala tuju muzik ini yang nak sampai 20 tahun.  Kalau dulu ketika zaman Teh Tarik Crew, saya hanya fikir nak battle dengan rappers lain saja. Sekarang pula saya lebih kepada lagu dengan cerita rakyat.

“Saya yakin dan percaya jika diri ini yang dulu berjumpa diri yang sekarang sudah tak dapat kenal.  Saya yang dulu dan sekarang memang ternyata berlainan. Jadi keluarlah idea lagu Mambang ini. Saya dulu berdarah muda yang sangat baran,” kata Altimet yang akan genap 40 tahun pada 27 November depan.

Tidak serang rapper lain.

Menurut Altimet lagu berkenaan bersifat sangat abstrak dengan konsep ‘aku lawan aku’.

“Lagu ini seperti saya marahkan diri sendiri. Cuma orang akan nampak ia seperti marah dekat orang lain. Jadi dalam konteks saya ini, orang akan rasa saya cuba marah dekat rapper lain pula. Logiknya begitu. Apabila saya dilihat agak otai, orang mesti ingat saya cuba ‘serang’ rapper yang sama level otai.

“Mustahil saya akan dilihat cuba ‘tembak’ Joe Flizzow yang bernaung di bawah syarikat yang sama. Lalu tercetus Malique pula. Begitulah terbit andaian masing-masing kebelakangan ini,” katanya.

Sempat ditanya mengenai apakah ada pihak termasuk rakan terdekat dan karyawan seni yang cuba memujuk Altimet apakah dia dapat mengubah fikiran untuk mengucapkan selamat tinggal di dunia seni atas kapasiti penyanyi dan penghibur yang memperjuangkan hip hop dan rap itu, dia sempat memintas yang takkan ada orang berani berbuat demikian.

Hanya ibu yang boleh pujuk.

Sambil berseloroh, Altimet juga memberitahu jika ada pihak yang mahu membantah pengundurannya dengan mewujudkan petisyen boleh menghalakan ia kepada ibunya, Jamalah Agil Alsagoff.

“Orang rapat tahu saya kepala batu kalau nak pujuk, saya ubah fikiran. Tapi kalau ibu saya suruh nyanyi balik, saya mungkin akan ubah fikiran.

“Kalau ada yang nak halang persaraan saya di pentas seni, cubalah pujuk ibu saya. Kan syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Jadi siapa tahu saya boleh ubah keputusan itu,” katanya.

Pelakon teater muzikal Ola Bola itu ditemui di Atria Shopping Mall baru-baru ini ketika meraikan kejayaannya di Anugerah Juara Lagu ke-32 dengan memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Pada majlis itu juga, Altimet turut meraikan anak yatim dan asnaf daripada Pusat Pengurusan Al Firdaus di Denai Alam, Shah Alam.



Sumber “Lagu Mambang Bukan Untuk Malique, Tapi Diri Sendiri” – Altimet

Post a Comment

Previous Post Next Post