KUALA LUMPUR: Seorang lelaki diberkas selepas menceroboh Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor, dan cuba melarikan kereta jenis Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 petang, suspek berusia 31 tahun dari Gelang Patah, Johor, itu dikesan menceroboh masuk ke kawasan istana melalui pintu pagar East Lodge, Jalan Straits View, sekitar jam 12.30 tengah hari.
Ketika itu terdapat seorang anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), sedang mengawasi pintu pagar berkenaan namun suspek yang memandu Proton Waja tidak berhenti dan terus masuk ke dalam istana.
Suspek yang turut memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah kemudian dipercayai menuju ke garaj kereta istana berkenaan.
Semasa berada di garaj, seorang kakitangan istana terlihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam kereta Ferrari warna biru sebelum kakitangan terbabit dengan segera menarik kunci kereta berkenaan.
Suspek kemudian berjalan ke keretanya sebelum melarikan diri dengan memecut kenderaannya melalui laluan sama di pagar East Lodge.
Susulan itu, polis yang menerima maklumat kejadian itu terus melakukan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Istana Bukit Serene, dan memberkas suspek, beberapa jam kemudian.
Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek terbabit positif dadah jenis methapitamine.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Khader Mohd, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh.
“Setakat ini suspek yang ditahan reman sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai motif sebenar suspek.
Sumber: Bharian
Sumber Lelaki berani mati ceroboh istana, cuba curi Ferrari Sultan Johor