Kematian Sridevi agak mengejutkan malah punca kematiannya juga dipersoal kerana pada awalnya keluarga mendiang memaklumkan dia mati kerana serangan jantung.
Namun hasil bedah siasat mengesahkan dia meninggal dunia akibat lemas. Pasukan forensik turut mengesahkan terdapat kandungan alkohol dalam badan mangsa ketika kematiannya.
Kematian Sridevi merupakan sebahagian daripada kehilangan tragis insan seni dalam dunia perfileman India. Beberapa kematian melibatkan nama besar dan bintang yang baru mula menyinar turut pernah mengejutkan negara itu.
Berikut kami senaraikan lima daripadanya
1. Divya Bharti
Pernah dilabel sebagai pelakon harapan paling bernilai Bollywood, Divya pergi dalam keadaan yang amat mengerikan. Dia mati selepas jatuh daripada balkoni tingkat lima pangsapuri kediamannya di Mumbai. Ketika itu dia baru berusia 19 tahun.
Insiden berlaku pada 5 April 1993. Hasil bedah siasat mendapati Divya berada dalam pengaruh alkohol ketika kejadian. Bagaimanapun sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada ia satu kemalangan atau mungkin juga satu pembunuhan.
Ada yang mendakwa suaminya Sajid Nadiadwal yang berkahwin secara rahsia dengan mendiang di set penggambaran Shola Aur Shabnam sebagai dalang di sebalik kematian Divya.
Ketika hayatnya Divya berlakon sebagai heroin dalam beberapa filem temasuk Deewana bersama Shah Rukh Khan dan Rishi Kapoor.2. Nafisa Joseph
Model terkenal dan VJ MTV ini dilaporkan menggantung diri hingga mati di pangsapurinya di Mumbai pada 29 Julai 2004.
Nafisa merupakan bekas juara Femina Miss India Universe 1997 dan peserta akhir Miss Universe 1997 yang berlangsung di Miami.
Nafisa bertindak membatalkan perkahwinannya beberapa minggu sebelum kematiannya. Tindakan itu dibuat selepas dia mendapat tahu bakal suaminya yang juga ahli perniagaan Gautam Khanduja menipu mengenai perkahwinan pertamanya.
Zee News melaporkan Nafizsa membunuh diri akibat tekanan perasaan.
3. Parveen Babi
Parveen Babi buka nama asing bagi peminat filem hindustan pada era 70-an dan 80-an dan kerap digandingkan bersama superstar Amitabh Bachchan dan mendiang Shashi Kapoor.
Parveen juga adalah pelakon Bollywood pertama yang menghiasi muka depan majalah Times pada 1976.
Selepas melalui kilauan kemasyhuran hayat Parveen berakhir dalam keadaan mengerikan pada 22 Januari 2005.
Dia mati keseorangan di atas katil bilik tidurnya dan mayatnya hanya ditemui selepas beberapa hari.
Sehingga kini belum ada jawapan sama ada Parveen mati akibat bunuh diri atau kematian normal.
Parveen turut dilaporkan menghidap paranoid schizophrenia dan sering mendakwa beberapa individu berkonspirasi untuk membunuhnya.
4. Guru Dutt
Guru Dutt bukan hanya pelakon, mendiang juga seorang pengarah dan penerbit filem klasik Bollywood antaranya Pyaasa, Kaagaz Ke Phool, Sahib Bibi Aur Ghulam dan Chaudhvin Ka Chand.
Dianggap insan paling berbakat yang pernah dilahirkan Bollywood, Guru Dutt sebenarnya berdepan tekanan perasaan melampau yang mendorongnya untuk beberapa kali cuba bunuh diri.
Dia ditemui tidak benyawa di atas katilnya pada 10 Oktober 1964. Punca kematian disahkan berpunca pengambilan alkohol dan pil tidur secara berlebihan.
6. Jiah Khan
Ketika mati membunuh diri pada 3 Jun 2013, Jiah Khan berusia 25 tahun. Menurut ibunya, Jiah meninggalkan nota bunuh diri sepajnang enam muka surat yang menggambarkan dirinya didera secara mental.
Keluarga Jiah mendakwa teman lelakinya Sooraj Pancholi sebagai punca dia membunuh diri. Laporan forensik mengesahkan Jiah berada di bawah pengaruh alkohol ketika dia menggantung diri.
Kegagalan hubungan selain kerjaya lakonannya yang merudum antara punca Jiah membuat keputusan menamatkan riwayatnya dengan cara sedemikian.
Sumber Lima kematian tragis: Kontroversi bintang Bollywood yang mungkin anda tidak tahu