PETALING JAYA: Trend membeli belah secara dalam talian semakin menjadi kegilaan masyarakat dunia termasuk rakyat di negara ini.
Malah, hampir semua benda kini boleh dibeli dari rumah sahaja tanpa perlu berkunjung ke kedai.
Semuanya senang, mudah dan pantas. Namun, pembeli kadang-kala mungkin tersilap langkah sehingga berlaku kejadian yang melucukan.
Muhammad Syairozi Mohd Ali, 29, menjadi bahan ketawa netizen setelah perkongsiannya di laman Facebook menjadi tular.
Dia yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan di Ulu Yam memuat naik posting mengenai kesilapannya membeli jack kereta dari gedung beli belah dalam talian popular, Lazada.
Menerusi posting itu, Syairozi memberitahu jack kereta yang ditempahnya pada 23 Februari lalu bukanlah jack kereta sebenar sebaliknya ia khusus untuk kereta kawalan jauh.
“Item yang saya tempah tu sampai pada 27 Februari. Saya teruja pulang ke rumah pada petang itu untuk membaiki kereta. Iyalah, jack yang saya tempah dah sampai.
“Sesampainya di rumah, saya pelik sebab bungkusannya kecil. Selepas itu barulah saya sedar ia jack untuk kereta kawalan jauh. Saya hanya mampu tergelak sahaja,” ujarnya kepada mStar Online.
Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama dia membeli barang di Lazada.
Malah, dia tidak menyangka jack kereta kawalan jauh turut dijual di laman beli belah dalam talian popular itu.
“Saya akui silap saya sebab tak baca penerangan penuh produk sebelum membuat tempahan.
“Tapi saya juga keliru sebab produk itu hanya ditulis RC. Kalau ditulis penuh Remote Control, saya pasti faham yang produk itu untuk kereta kawalan jauh,” ujarnya lagi.
Menurut Syairozi, pihak Lazada ada menghubunginya bagi memberi penerangan setelah perkongsiannya mendapat perhatian ramai.
Ujarnya, dia tidak berniat untuk menunding jari sebaliknya posting itu hanyalah untuk berkongsi insiden kelakar yang menimpa dirinya sahaja.
Sehingga kini, posting itu menerima lebih 4,000 tanda suka dan dikongsi oleh 7,000 pengguna Facebook.
Dalam pada itu, pihak Lazada menerusi satu kenyataan kepada mStar Online mengesahkan sudah menghubungi pengadu bagi memberi penjelasan mengenai insiden tersebut.
Malah, pihaknya juga komited untuk berterusan mendidik pelanggan mereka supaya kejadian sedemikian tidak berulang .
Sumber; Mstar
Sumber Lucu bila tempah jack kereta, tapi terima…