Baru-baru ini saja saya drive seorang ke Felda Lurah Bilut dekat Bentong, Pahang sana tu. Serius, lain benar rasanya kali ini bila masuk ke tanah rancangan Felda sekarang.
Dulu kalau kita masuk dalam tanah-tanah rancangan Felda, kita rasa macam suram je. Kalau malam, lagilah ‘terasa’. Kena pulak yang jaraknya begitu jauh masuk ke dalam.
Anak-anak peneroka pula banyak yang berhijrah ke kota dan bandar-bandar besar mencari pekerjaan. Tinggallah orang tua mereka di kampung. Bila raya dan musim sekolah, barulah ‘hidup’ balik tanah-tanah rancangan tu.
Saya rasa ini semua berlaku kerana kekurangan peluang pekerjaan di tanah rancangan.
Sebab itu apabila Tan Sri Shahrir Samad umum Felda 2.0, saya memang sokong sangat. Bagi saya, memang dah tiba masanya tanah-tanah rancangan peneroka Felda ni ‘diremajakan’ dan diberikan ‘nafas baru’.
Felda 2.0? Yang nak tergelaknya, ada peneroka sendiri yang tak faham sangat apa yang dimaksudkan dengan Felda 2.0 ni. Maklumlah agenda barulah katakan. Entah-entah sama sahaja dengan inisiatif sebelum-sebelum ini kan.
Saya pun tak adalah mahir sangat tetapi lepas diberi kesempatan borak panjang dengan Tan Sri Shahrir kat pejabatnya dulu dan turun sendiri ke Felda Lurah Bilut (tanah rancangan pertama yang di ‘Felda 2.0’-kan), barulah saya lebih jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan Felda 2.0 itu.
Macam ini ceritanya;
Felda 2.0 ini bertujuan untuk mewujudkan sebuah komuniti yang berdaya saing serta kompetitif dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa. Kiranya kental dan tahanlah.
Apa cabarannya pula?
Banyak. Lagi-lagi di tanah rancangan.
Kalau tengok, generasi muda di tanah rancangan Felda ramai yang pindah keluar duduk ‘Kolumpo’ sebab kerja sana dan terus beranak pinak di situ. Lama-lama mahu sunyi dan tinggal generasi lama sahajalah di tanah rancangan kan?
Nak buat macam mana, bukannya banyak sangat pun peluang pekerjaan yang bernilai tinggi di kawasan mereka. Kebanyakan pekerjaan adalah yang bernilai rendah dalam sektor perladangan dan pertanian.
Budak-budak muda ni pun tak gemar sangat kerja ladang. Kau tak percaya kau pergi tengok sendiri. Itu sebab ramai buruh asing.
Jadi apa yang Tan Sri Shahrir nak buat, beliau mahu penduduk yang sedia ada terus tinggal di situ terutama anak-anak muda.
Nak mereka ini tinggal, kena ada peluang baru. Peluang baru boleh wujud melalui sektor ekonomi baru seperti ekonomi digital, pelancongan hijau, ladang solar dan produk IKS.
Saya bagi contoh ye, macam di Lurah Bilut ada satu pusat ‘co-working’. Dulunya ini pejabat rancangan. Tapi sekarang dah jadi tempat bekerja bagi sesiapa sahaja yang sekadar nak datang chill-chill, rehat, cari ketenangan bekerja untuk tempoh seketika. Lawa, ada tempat ‘pitching’, skrin TV, bean bag dan tempat kerja selesa.
Bila ada pekerja digital yang datang, pastinya mereka akan tinggal sekejap di sini kan? Dan bila mereka tinggal, pastinya mereka akan berbelanja.
Kemudian ada pula tarikan-tarikan pelancongan seperti muzium FELDA, taman rekreasi, lukisan mural gergasi dan pastinya makanan. Yang ini saya cukup sukalah. Orang Malaysia mana tak suka makan. Hehe
Tapi yang saya rasa paling canggih adalah ladang solar di tanah rancangan. Tan Sri Shahrir berjaya dapatkan kuota 80mW untuk dibangunkan ladang solar di 16 tanah rancangan.
Kau bayangkan, setiap satu ladang solar boleh jana pendapatan sebanyak RM3 juta setahun selama 21 tahun. Siapa yang nak uruskan dan belajar selok belok ladang solar ini kalau bukan anak tempatan nanti?
Dari benda-benda macam inilah saya yakin kekayaan dan peluang baru bakal dicipta untuk generasi muda FELDA.
Dalam Felda 2.0 ini, Tan Sri Shahrir begitu bersungguh-sungguh mahukan kualiti hidup yang tinggi selari dengan kemajuan negara. Kalau boleh biar setanding dengan KL.
Kenapa tak boleh internet 100mbps di tanah rancangan? Kenapa kualiti tandas awam, sistem perparitan, pengurusan sampah dan sistem keselamatan di tanah rancangan semoden di kawasan-kawasan elit di bandar?
Ini semua FELDA akan majukan.
Cuma saya fahamlah, ada visi dan rancangan ini satu hal, tapi last sekali siapa yang nak bantu jayakan? Tak terkejar FELDA nak buat semua benda.
Bila saya suarakan perkara ini, Tan Sri Shahrir gelak sahaja. Rupa-rupanya beliau dah berjaya dapatkan kerjasama dari 14 agensi kerajaan dan syarikat swasta! Mereka semua ini digelar sebagai Rakan Muafakat FELDA 2.0.
Saya tengok senarai yang datang bantu ni bukan calang-calang. Bank CIMB akan bina menara tinjau yang boleh buatkan kau tengok view lembah bukit bukau di sini, MPH milik Syed Mokhtar akan bina sebuah perpustakaan digital lengkap dengan bahan ilmiah.
SKMM bantu dari segi sediakan internet fibre optic kelajuan 100mbps, Touch N Go sediakan teknologi untuk cashless solution dan banyak lagilah untuk saya ceritakan.
Mereka semua ini datang jadi rakan muafakat FELDA 2.0 kerana kepercayaan mereka kepada agensi Felda sekarang, keyakinan kepada visi dan objektif FELDA 2.0 di Lurah Bilut dan mahu turut serta dalam membangunkan kawasan luar bandar.
Ini bukan setakat cakap kosong, mereka dah confirm akan bantu dan jumlah pelaburan mereka adalah sebanyak RM8.8 juta and counting!
Berapa FELDA dah belanja setakat ini di Lurah Bilut? RM5 juta sahaja.
Power insan bernama Shahrir ini. Ehem ehem.
Sebab itu saya tidak hairan Perdana Menteri Najib Razak beri peruntukan RM50 juta tahun ini untuk dibangunkan lagi 5 tanah rancangan FELDA macam Lurah Bilut. Good investment and money well spent!
Selamat malam dan selamat dapat mimpi yang indah-indah. Sebelum nak tidur saya nak nyanyi lagu Ramli Sarip dulu, Blues Felda Blueesssss!
Syahril A. Kadir
Sumber Macam Tak Percaya Ini Tanah Rancangan Felda