NGO tempatan dapat penghargaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Sahabat Taman Rekreasi Pudu Ulu diumumkan pemenang Anugerah Badan Bukan Kerajaan (NGO)-Kemudahan Awam Terbaik pada majlis Apresiasi Wilayah Persekutuan 2017 di Putrajaya.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata persatuan berkenaan ditubuhkan tiga tahun lalu dan tidak menyangka kegiatan mereka memikat hati juri.

"Kerjasama erat penduduk setempat menjadikan Persatuan Sahabat Taman Rekreasi Pudu Ulu sebagai NGO terbaik dalam menjaga kemudahan awam di ibu kota.

"Persatuan yang mempunyai kira-kira 50 ahli ini ditubuhkan untuk membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau taman rekreasi berkenaan.

"Kami turut aktif mengadakan pelbagai aktiviti dan memberi buah fikiran kepada DBKL untuk meningkatkan kemudahan awam setempat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mewakili persatuan menerima anugerah daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Lam Thye berkata, kejayaan itu memberi suntikan semangat bagi ahli persatuan bekerja lebih keras memajukan taman rekreasi Pudu Ulu, selain menjadi mata dan telinga bagi pihak DBKL.

"Kerjasama erat antara persatuan dan DBKL memberi manfaat apabila DBKL bersetuju membina tandas tambahan bagi kegunaan orang awam di taman itu," katanya.

Taman Rekreasi Pudu Ulu di belakang Menara PGRM di Cheras, dibuka sepenuhnya kepada orang awam tahun lalu, selepas projek fasa kedua di kawasan seluas 13.3 hektar bernilai kira-kira RM11 juta tahun lalu siap.

Antara tarikan adalah kolam mandi khas untuk kanak-kanak serta plaza utama berkanopi yang memberi lebih keselesaan untuk menjalankan aktiviti riadah seperti zumba dan aerobik.

Ia turut menjadi lokasi pertandingan acara sukan petanque pada temasya Sukan SEA ke-29 tahun lalu.

Pada majlis sama, Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) turut dinobatkan sebagai Media Elektronik Terbaik (majalah dan dokumentari).



Sumber NGO tempatan dapat penghargaan

Post a Comment

Previous Post Next Post