Peguam: Kapten ‘Equanimity’ tak tahu siapa pemilik kapal

Peguam mewakili kapten itu berkata anak guamnya memberitahu polis bahawa dia hanya tahu kapal mewah itu milik sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Cayman.

1mdb-yacht

Gambar Reuters

PETALING JAYA: Seorang peguam Indonesia mewakili kapal mewah yang dikaitkan dengan 1MDB dan disita polis Indonesia di Bali awal minggu ini berkata anak guamnya tidak tahu siapa individu pemilik kapal itu, lapor Malaysiakini.

Peguam Rando Purba berkata anak guamnya, Rolf Sieboldt-Berry, seorang warga Afrika Selatan memberitahu penyiasat bahawa dia hanya tahu “Equanimity” milik sebuah syarikat.

Bagi kapten itu, apa yang dia tahu adalah kapal layar itu dimiliki oleh sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

“Dia tidak tahu individu di belakang syarikat itu kerana dia tidak melihat dokumen (pendaftaran),” katanya kepada portal berita itu.

Semalam, Wall Street Journal melaporkan jurucakap polis Indonesia Muhammad Iqbal mengumumkan Sieboldt-Berry akan diisytiharkan sebagai seorang suspek kerana tidak menyerahkan harta yang dikehendaki dalam sitaan aset dan didakwa cuba mengelak dari dikesan. Iqbal berkaa anak guamnya boleh didakwa bawah undang-undang pengubahan wang haram kerana cuba menyembunyikan aset yang dikehendaki.

Reuters pada Khamis melaporkan polis menyita kapal itu selepas menerima surat daripada Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memohon bantuan menguatkuasakan satu perintah mahkamah.

Iqbal berkata polis sudah menyoal kapten dan anak kapal dan akan memeriksa dokumen imigresen mereka untuk melihat sama ada terdapat bukti jenayah dilakukan.

“Sieboldt-Berry disoalsiasat selepas kapal layar itu dirampas di Benoa, Bali pada hari Isnin dan disoalsiasat oleh polis mengenai identiti pemilik kapal itu,” kata Purba lapor Malaysiakini.

Beliau menambah anak guamnya bekerja di kapal itu sejak Mac 2015 dan dilantik sebagai kapten sementara pada April tahun lepas.

Purba juga tidak tahu sebarang kaitan antara kapal itu dan ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low. “Saya hanya tahu nama (Jho Low) dari laporan media.”

Menurutnya lagi, polis Indonesia tidak menimbulkan nama hartawan itu dalam sesi soal siasat.

Indonesia pada Rabu berkata pihak berkuasa mereka menyita kapal mewah itu, yang berlabuh di Teluk Benoa di pulau Bali.

Kapal itu dikehendaki Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam siasatan ke atas rasuah berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana milik kerajaan Malaysia, 1MDB.

“Kami memerika anak kapal sejak semalam dan sekarang kami sedang mengambil tindakan kerana kita sudah menerima kelulusan mahkamah,” kata Pengarah Jenayah Khas dan Ekonomi Agung Setya di Biro Penyiasatan Jenayah Indonesia kepada Metro TV.

Paparan siaran televisyen Indonesia memaparkan gambar pegawai Indonesia bercakap dengan anak kapal di atas “Equanimity”.

Menurut Setya ada 34 anak kapal dan pihak berkuasa Indonesia bekerjasama dengan FBI dalam kes pengubahan wang haram itu. Beliau tidak boleh memberitahu bagaimana siasatan akan berjalan.

1MDB berada di tengah-tengah siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya 6 negara termasuk AS, Switzerland dan Singapura.

Sebanyak AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ sejak 2 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku.

Pada Ogos 2017, DOJ meminta saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri dari 1DMB ditangguhkan kerana sedang menjalankan satu siasatan jenayah berkaitan.

Antara aset yang dicari ialah kapal mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli Jho Low, yang dinamakan sebagai watak utama dalam tindakan undang-undang AS itu. DOJ berkata Jho Low menggunakan hasil kutipan daripada 1MDB untuk membeli “Equanimity”, sebuah kapal mewah sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Peguam: Kapten ‘Equanimity’ tak tahu siapa pemilik kapal

Post a Comment

Previous Post Next Post