Pelumba TSG, Ovechkin rangkul Jersi Kuning LTdL 2018

KUALA LUMPUR: Sejarah baharu tercipta pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 selepas pelumba Rusia, Artem Ovechkin memenangi Jersi Kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan bagi pasukan dari Malaysia pada perlumbaan berbasikal itu yang mula diperkenalkan pada 1996.

Ovechkin yang mewakili Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG), merangkul jersi berkenaan walaupun menamatkan saingan di tempat ke-37 daripada 104 pelumba pada saingan peringkat akhir LTdL 2018 hari ini dari Dataran Rembau ke Dataran Merdeka, melibatkan jarak 141.1km.

Beliau mencatat masa keseluruhan 32 jam 06 minit dan 45 saat selepas berakhir saingan peringkat akhir perlumbaan berbasikal berprestij di Asia itu.

Pelumba Itali, Andrea Guardini daripada pasukan Bardiani-CSF memenangi perlumbaan hari ini, yang merupakan kemenangan kelima di Dataran Merdeka, selepas menjuarai saingan berkenaan di venue sama pada 2011, 2014, 2015 dan 2016.

Pencapaian tersebut juga menyaksikan Andrea meraih Jersi Hijau selaku Raja Pecut buat kali keempat pada saingan LTdL, selepas mengumpul keseluruhan 61 mata. Beliau pernah memenangi jersi berkenaan pada 2011, 2012 dan 2016.

Pelumba Colombia, Alvaro Duarte daripada pasukan Forca Amskins Racing, pula memenangi Jersi Merah Polka Dot sebagai Raja Bukit setelah mengumpul 43 mata, selepas berakhir lapan peringkat perlumbaan tersebut.

Pelumba Kazakhstan, Yevgeniy Gidich yang mewakili Astana Pro Team, dalam pada itu, meraih Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia, selepas mencatat keseluruhan 32 jam 07 minit dan 47 saat, manakala pasukannya muncul Pasukan Terbaik Keseluruhan Asia apabila merekod masa 96 jam 23 minit dan 52 saat.

Bercakap kepada pemberita, Ovechkin yang memenangi Jersi Kuning semasa perlumbaan di Cameron Highlands, Khamis lepas, berkata perlumbaan hari ini agak mencabar kerana beberapa pakar pecut saling mendahului perlumbaan, namun beliau gembira dapat mengekalkan jersi berkenaan sehingga tamat saingan.

"Saya gembira dapat memenangi jersi berkenaan untuk TSG yang merupakan antara pasukan Malaysia bersaing pada perlumbaan tahun ini, dan saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada kesemua rakan sepasukan, jurulatih dan pihak pengurusaan pasukan yang berusaha tanpa kenal penat  lelah," katanya.

Dalam pada itu, Guardini juga sangat gembira dapat meneruskan rentak kemenangan di Dataran  Merdeka, selain meraih Jersi Hijau buat kali keempat.

"Kemenangan di Dataran Merdeka sangat istimewa buat saya, dan saya memberitahu diri sendiri agar tidak kalah pada perlumbaan hari ini di venue yang sama.

"Saya sangat gembira memenangi perlumbaan hari ini walaupun tidak berpeluang menikmati pemandangan indah di Menara Berkembar Petronas sejak kemenangan peringkat pertama saya di sini pada 2011," kata Guardini yang sudah memenangi 24 peringkat perlumbaan LTdL.

Untuk rekod, Guardini atau lebih dikenali sebagai 'Mr Langkawi', memenangi lima peringkat perlumbaan pada 2011, 2012 (enam), 2013 (satu), 2014 (dua), masing-masing empat kemenangan pada 2015 dan 2016, di samping peringkat pertama LTdL 2018 pada Ahad lepas.

-- BERNAMA



Sumber Pelumba TSG, Ovechkin rangkul Jersi Kuning LTdL 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post