Toyota Gazoo Racing Festival dijangka ke Pantai Timur

KUALA LUMPUR: Pusingan terakhir Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) 2018 di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil yang berakhir hari ini berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan hangat pengunjung.

Ia merupakan acara kemuncak selepas diadakan di tiga lokasi sebelum ini iaitu di Batu Kawan, Pulau Pinang, MAEPS, Serdang dan Medini City, Johor Bahru.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy berkata, susulan itu, Musim Kedua Festival TGR dijangka diperluaskan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, festival itu bukan sahaja mencapai matlamat mempromosikan sukan bermotor kepada generasi muda, malah memberi keceriaan kepada keluarga yang hadir.

"Pengunjung dapat bermacam-macam pengalaman bermanfaat sepanjang empat pusingan perlumbaan di sini dan banyak lagi yang akan dipersembahkan pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, saya rasa ia akan memberikan keseronokan dan kami mahu memperluaskan (festival) ini ke beberapa tempat lagi, bukan sahaja di Pulau Pinang, dan Johor Bahru, kami juga mungkin akan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI.

Dalam pada itu, katanya, setiap pusingan perlumbaan mempunyai cabarannya yang tersendiri dan pelumba akan merasai pengalaman yang berbeza.

"Jika anda melihat kepada pelumba atau pemandu itu sendiri, setiap pengalaman yang mereka lalui adalah berbeza baik di Pulau Pinang, di MAEPS dan Johor Bahru, serta kali ini di Bukit Jalil.

"Bagi mereka, ia adalah cabaran baharu sepeti perlumbaan F1, di mana setiap kali mereka berlumba di tempat baharu, mereka mendapat pengalaman baharu," tambahnya.

Walaupun berlaku kemalangan semasa perlumbaan, namun bagi pelumba, ia dianggap satu keseronokan kerana tahap keselamatan yang dititikberatkan UMW Toyota Motor.

"Saya merasakan ia adalah satu keseronokan untuk pelumba kerana ia satu cabaran baharu kepada mereka," ujarnya.

Perlumbaan Festival TGR 2018 terbahagi kepada tiga pusingan kelayakan iaitu kelas sporting, kelas promotional dan kelas super sporting.

Ia turut menampilkan penyertaan artis terkenal tanahair termasuk Fattah Amin, Janna Nick, Diana Danielle dan Shukri Yahaya.



Sumber Toyota Gazoo Racing Festival dijangka ke Pantai Timur

Post a Comment

Previous Post Next Post