Saksi pertahan keterangan Lim beli banglo bawah nilai pasaran

Lim Guang Eng ketika hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town, 26 Mac 2018. — Foto oleh Sayuti ZainudinLim Guang Eng ketika hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town, 26 Mac 2018. — Foto oleh Sayuti ZainudinGEORGE TOWN, 26 Mac — Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membeli sebuah banglo mewah di bawah nilai harga pasaran dan harga yang tidak betul.

Pengendali laman sosial Facebook Mohsin Abdul Latif, 34, saksi pertama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Lim dan ahli perniagaan wanita Phang Li Koon  mengekalkan keterangannya bahawa Lim membeli rumah pada harga yang tidak sepatutnya.

Diasak beberapa kali oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, Mohsin yang juga digelar dengan panggilan Mamu Parpu tetap dengan pendiriannya bahawa ketua menteri itu membeli rumah dengan harga yang tidak betul.

“Saya membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 Mac 2016 supaya perkara  ini disiasat  dengan lebih lanjut. Rumah banglo yang terletak di Jalan Pinhorn itu  yang berharga RM2.5 juta dan kemudian dijual dengan harga RM2.8 juta dalam masa beberapa tahun. Pada pendapat saya harga tersebut tidak betul,” katanya di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail. 

Semasa pemeriksaan balas oleh Gobind  sama ada saksi itu  bersetuju bahawa harga rumah yang dibeli oleh  Lim itu adalah berpatutan, Mohsin berkata “tidak setuju”.

Terdahulu Mohsin berkata beliau mengetahui mengenai pembelian rumah di bawah nilai pasaran itu menerusi perdebatan dalam sidang Parlimen di antara Lim dan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya yang disiarkan berita stesen televisyen TV3.

“Menerusi siaran itu saya terpanggil  untuk membuat laporan kepada SPRM  selepas melihat perdebatan berhubung pembelian harga rumah dalam sidang Parlimen melalui berita yang disiarkan dalam TV3. Saya rasa terpanggil untuk membuat laporan SPRM di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang kerana rasa sayang dan hormat terhadap pemimpin negeri itu dan tidak mahu ketua menteri terpalit dengan isu rasuah,” katanya.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud apakah yang dimaksudkan saksi itu dengan rasuah, Mohsin berkata Lim telah membeli rumah di No 25  Jalan Pinhorn dengan harga di bawah nilai pasaran.

Masri: Bagaimana tahu rumah itu harga rendah?

Mohsin: Melalui perdebatan di Parlimen dan berita di TV3

Masri : Ada sesiapa yang suruh atau desak kamu buat laporan kepada SPRM?

Mohsin : Saya pergi atas dasar rela hati.

Seramai enam lagi saksi telah dipanggil memberi keterangan melalui penyataan saksi yang kemudiannya dikemukakan di mahkamah.

Enam saksi itu ialah Penolong Pegawai Pendaftaran Nadia Kamis@Khamis, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Tanah) Pejabat Tanah dan Daerah, Seberang Perai Tengah Rosmin Yaakob; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Mohd Roshidi Azmi; Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Mohamad Farid Mokhtar. 

Selain itu turut memberi keterangan ialah pesara kerajaan  Siti Asma’ Mohd  Salleh dan  Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dewan Undangan Negeri, Pejabat Setiausaha kerajaan Negeri Pulau Pinang Mohd Farullizam Che Meh.

Bagaimanapun pihak peguam tidak menyoal balas saksi-saksi itu.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh  melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt  2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung petang ini. — Bernama



Sumber Saksi pertahan keterangan Lim beli banglo bawah nilai pasaran

Post a Comment

Previous Post Next Post