Senator: IC palsu leluasa di hospital, rugi jutaan ringgit

Ramai PATI mengambil kesempatan menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang lebih murah di hospital kerajaan. — Foto oleh Azneal IshakRamai PATI mengambil kesempatan menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang lebih murah di hospital kerajaan. — Foto oleh Azneal IshakKUALA LUMPUR, 26 Mac — Seorang senator hari ini berkata penggunaan kad pengenalan palsu oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berlaku secara berleluasa yang menyebabkan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit setiap tahun.

Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkata kelonggaran kaedah pengesahan identiti yang digunakan di hospital kerajaan menyebabkan ramai PATI mengambil kesempatan menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan kos yang lebih murah di hospital kerajaan.

“Di hospital kerajaan, hanya perlu beri kad pengenalan, tulis nama dan tunggu nama dipanggil (untuk menerima rawatan), tiada ‘card reader’ (alat pembaca kad) untuk mengesahkan kesahihan kad pengenalan. Saya difahamkan kerajaan habis berjuta ringgit setahun untuk mereka (PATI) kerana mereka ada kad pengenalan palsu. 

“Kita perlu ada satu kaedah bagaimana mahu selesaikan perkara ini. Tak apalah jika perlu beratur panjang sikit asalkan tidak menipu duit kita, duit pembayar cukai,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan diharap dapat mengetatkan kaedah pengesahan identiti di hospital seperti penggunaan alat pembaca kad bagi mengelakkan mana-mana pihak menyalahgunakan kemudahan itu untuk kepentingan peribadi.

Selain itu, ia juga dapat mengekang pihak tertentu seperti sindiket pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu daripada mengaut keuntungan. — Bernama



Sumber Senator: IC palsu leluasa di hospital, rugi jutaan ringgit

Post a Comment

Previous Post Next Post