KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan, terkejut apabila ada pihak mendakwa single terbarunya, Sampai Ke Hari Tua, mempunyai persamaan dengan lagu popular dari Indonesia, Surat Cinta Untuk Starla, dendangan Virgoun.
Sambil menafikan ia diceduk daripada mana-mana karya sedia ada, Aizat atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Amdan, 29, menegaskan beliau sebenarnya mendapat inspirasi menghasilkan lagu bertemakan cinta itu daripada Kau Ilhamku nyanyian Man Bai.
"Saya sendiri terkejut apabila ada pihak menyamakan lagu itu dengan Surat Cinta Untuk Starla. Malah, ada juga yang mengatakan ia hampir sama dengan lagu Perfect oleh Ed Sheeran. Ia sebenarnya diinspirasikan daripada lagu Man Bai, Kau Ilhamku.
"Mungkin disebabkan 'mood' dan liriknya yang agak serupa membuatkan lagu baharu saya itu kedengaran sama dengan karya dimaksudkan," katanya kepada BH Online.
Tambah penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia ini, lagu berkenaan sebenarnya dihasilkan bagi mengisi kekosongan karya berunsur perkahwinan yang dirasakan semakin berkurangan ketika ini.
"Tujuan asal lagu ini dicipta adalah untuk perkahwinan. Tajuknya saja sudah menggambarkan hubungan antara suami dan isteri.
"Saya rasa, semua orang yang sudah berkahwin atau sedang bercinta pastinya mahu sama-sama mengharungi cabaran dan kegembiraan sampai maut memisahkan mereka," kata Aizat.
Bersesuaian dengan objektif penghasilannya, lagu itu juga didendangkan Aizat buat julung kali pada majlis resepsi pasangan pelakon terkenal, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.
Sumber 'Sampai Ke Hari Tua bukan lagu ciplak'