Mangsa, Muhammad Aiman Asyraf, 22 tahun ditemui berhampiran Kampung Tepus, Tanjung Belanja pada 10.53 pagi setelah operasi mengesan dan menyelamat dijalankan sejak Khamis.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar ketika mengesahkan berkata operasi bermula Khamis setelah ahli keluarga membuat laporan kehilangan mangsa dikhuatiri lemas pada hari sama.
“Mayat mangsa ditemukan terapung di permukaan air pada jam 10.53 pagi tadi setelah dihanyutkan kira-kira 5 kilometer dari lokasi mangsa jatuh.
“Operasi pencarian bermula pada 1 Mac lepas dengan anggota melakukan pencarian di permukaan dan kawasan dalam sungai.“Pencarian bermula dari kawasan Kampung Bekor hingga ke Tanjung Belanja. Mangsa dijumpai anggota bomba dan dinaikkan di jeti Tanjung Belanja,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mohd Taufiq berkata, lebih 40 anggota agensi keselamatan dan 10 penduduk kampung membantu operasi pencarian mangsa yang bermula pada 1 Mac lepas.
“Sebanyak lima buah bot agensi digunakan dalam operasi itu dan beberapa buah bot penduduk kampung turut ikut serta.
“Menurut maklumat yang kami terima, mangsa dikatakan sedang mencari udang dan ketika kejadian, dia mahu menyeberang Sungai Perak.
“Apabila mangsa berada di tengah sungai, dia dipercayai telah terjatuh ke kawasan air dalam dan dibawa arus deras,” ujarnya.
Tambahnya, beberapa orang awam yang berada berhampiran cuba menyelamatkan mangsa namun gagal berbuat demikian.
Sumber Selepas 3 hari, mayat pemuda jatuh sungai ketika menjala ditemui