PETALING JAYA, 3 Mac — Buat mereka yang belum pernah menonton teater jalanan arahan Fauziah Ahmad Daud, petang esok masih ada peluang.
Teater Seni... Itu Rupanya! dipentaskan di ruang terbuka depan pusat beli-belah The Curve di sini hari ini, lapor Utusan Online.
Fauziah, juga dikenali Ogy, berkata teater jalanan yang dapat mendekatkan seni itu kepada orang ramai boleh dipersembahkan di mana-mana.
“Tidak ramai yang berani hendak buat teater jalanan ini,” katanya, yang berlakon teater jalanan bawah arwah Syed Alwi Syed Hassan pada 1990-an.
Menurut portal itu lagi, teater jalanan tersebut melibatkan 30 pelajar bengkel lakonan milik akademinya Ogy’s Centerstage & Academy.
Sementara itu penulis naskhah tersebut Azrie Izham Hamzah berkata “Seni... Itu Rupanya!” akan dipersembahkan sekali lagi jam 2.15 petang esok.
“Jadilah antara saksi hidup menyaksikan teater jalanan pertama di Malaysia setelah 30 tahun. Jemput datang beri sokongan!” coretnya di Facebook.
Teater jalanan ini menerapkan elemen lakonan, tarian, nyanyian dan sastera.
Sumber Selepas 30 tahun, teater jalanan Ogy petang esok