Kehidupan rumah tangga memerlukan banyak kesabaran dan kesetiaan. Andai dua perkara itu tiada, runtuhlah sebuah ikatan suci yang dibina. Hari ini mungkin kita tidak punyai rasa apa-apa, namun bila salah seorang pasangan kita sudah tiada barulah penyesalan itu timbul di hati.
Kisah benar ini sudah bertahun dikongsi di paparan media sosial, namun status ini semakin mendapat perhatian netizen kerana kisahnya yang sangat dramatik.
Siapa sangka orang yang kita kasihi, yang melalui saat susah bersama dahulu menduakan kita di saat si isteri menghidap kanser payu dara. Lebih menyedihkan apabila kebajikannya sebagai isteri pertama juga sudah tidak dipedulikan. Tetapi isteri keduanya dilayan bak puteri.
INI CERITA tentang rakan baik saya. Isteri dia menghidap barah payu dara. Semenjak daripada itu, dia sudah mula mencari perempuan lain.
Kekasih baru kepada kawan saya ini merupakan pelajar di IPTA dan usianya masih muda. Isteri rakan saya menjalani pembedahan dan sebelah payu daranya terpaksa dibuang. Kesan daripada itu, rakan saya sudah geli untuk bersama dengan isterinya.
Pada bulan Disember 2012, kawan saya berkahwin dengan isteri keduanya yang baru berumur 21 tahun. Semasa cuti Thaipusam, rakan saya membawa isteri keduanya tinggal dengan isteri yang pertama. Dan yang paling kejam, isteri pertama dihalau keluar dari bilik utama untuk memberi laluan kepada isteri kedua. Kejam, memang kejam!
Sehingga kini saya masih tidak boleh menerima perbuatan rakan baik saya itu yang sanggup menghalau isteri pertama keluar dari biliknya. Perkahwinannya buat kali kedua tidak saya ambil peduli, tetapi jauh di sudut hati saya merasakan tindakannya kejam. Ini kerana, dia tidak mempedulikan keadaan isterinya yang sakit dan dia langsung tidak memikirkan pengorbanan isteri pertama yang menjaga dia dulu dan empat orang anak mereka.
Semasa cuti perayaan itu, saya sempat bercakap dengannya di luar rumah. Kami sebenarnya berjiran dan sama-sama membeli rumah sewaktu bujang dulu. Saya cuba menegur rakan saya itu mengenai perbuatannya terhadap isteri pertama, malangnya saya dimarahi dan dia meminta saya tidak mencampuri urusan rumah tangga mereka.
Saya juga menasihatkannya agar mengasingkan kedua-dua isteri. Tetapi dia tidak mahu dan memberi alasan bahawa sukar baginya untuk berulang-alik. Biar Tuhan sahaja yang membalas perbuatan kejam ke atas isteri pertamanya.
Saya dan rakan saya adalah sebaya dan umur kami 35 tahun. Isteri pertama rakan saya berumur 39 tahun, lebih tua daripada kami. Semasa rakan saya belajar dulu, pada mulanya dia dengan isteri pertama menjalinkan hubungan sebagai kakak dan adik angkat. Isterinya bekerja sebagai operator kilang dan banyak membantu rakan saya semasa belajar. Tidak lama selepas itu, mereka pun berkahwin.
Mungkin faktor perbezaan umur yang perempuan lebih tua menyebabkan rakan saya berubah arah. Apa yang membuatkan saya makin marah ialah, sehingga kini dia selalu memujuk saya mengikut jejak langkahnya untuk berkahwin lagi. Saya tidak sampai hati mahu menduakan isteri tersayang saya itu.
Pada mulanya, saya tidak tahu rakan saya bawa isteri keduanya tinggal bersama isteri pertama sehinggalah saya terdengar bunyi kecoh dari rumah sebelah. Saya menjenguk dan nampak rakan saya mencampak baju-baju isteri pertama dari balkoni. Isteri saya menangis melihat kejadian itu. Anak-anak mereka pula bersama pembantu rumah menangis dan mengutip baju ibu mereka. Rakan saya menjerit dari atas balkoni memarahi anak-anaknya.
Saya masih ingat lagi kata-katanya;
"Kamu semua cakap dengan mama kamu. Kalau nak papa jaga dia sampai mati, jangan lawan cakap papa."
Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan anak-anaknya apabila mendengar kata-kata bapa mereka. Anak pertama dan kedua perempuan, manakala anak ketiga dan keempat adalah lelaki.
Saya rasa, tujuan utama dia menghalau isteri pertama dan beri laluan kepada isteri kedua adalah kerana di bilik utama ada jakuzi. Jadi, seronoklah dia berendam dan mandi bersama-sama dengan isterinya. Saya masih ingat lagi, saya dan dia bersama-sama pergi memilih jakuzi itu dan pasang di bilik masing-masing.
MAAF, sudah lama saya tidak menyambung cerita tentang rakan saya ini kerana saya sibuk menguruskan urusan pengebumian dan kenduri arwah isteri pertama rakan saya ini.
Arwah baru saja meninggal dunia pada hari sabtu, 25/01/2003, sedangkan suaminya tiada di Malaysia kerana pergi berbulan madu dengan isteri kedua di France dan mereka berlepas pada malam 24 Januari 2003.
Kisahnya, selepas menghantar rakan baik saya itu ke lapangan terbang Changi, Singapura, saya pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, pembantu rumah arwah menghubungi saya mengatakan arwah mengalami sesak nafas. Saya kelam kabut pergi ke rumah sebelah untuk membawa arwah ke hospital.
Sebelum arwah pergi ke hospital, dengan kepayahan arwah sempat mencium dua anak kembarnya (anak ketiga dan keempat) yang berusia tiga tahun sedang tidur. Arwah juga berpesan kepada dua anak perempuan berusia enam dan lima tahun supaya menjaga adik-adiknya. Mungkin arwah sudah tahu yang dia akan pergi buat selama-lamanya.
Hanya saya dan pembantu rumah arwah sahaja yang menghantar arwah ke hospital. Isteri saya menunggu di rumah rakan saya.
Semasa dalam perjalanan, beberapa kali arwah berpesan kepada saya untuk tolong tengok-tengokkan anaknya. Saya hanya meninggalkan pesanan SMS kepada rakan saya, mengatakan isterinya sakit. Saya juga menghubungi abang arwah yang berada di Kluang agar datang segera. Arwah hanya mempunyai dua beradik sahaja. Ibu bapanya sudah tiada.
Di hospital, arwah sempat berpesan pada doktor untuk tidak melakukan rawatan yang teruk kerana dia sudah rasa ajalnya akan tiba. Memang sedih ketika itu dan saya asyik menangis sepanjang dua tiga hari ini bila mengenangkan kembali perkara ini.
Bila abang arwah tiba di hospital, arwah masih berada dalam bilik rawatan. Alangkah geramnya abang arwah apabila mendapat tahu adik iparnya pergi melancong. Ketika itu, arwah berada dalam keadaan koma. Tidak lama selepas itu, arwah menghembuskan nafas terakhir dan pergi buat selama-lamanya. Abang arwah membuat keputusan agar jenazah arwah segera dikebumikan tanpa menunggu kepulangan adik iparnya itu.
Saya dengan abang arwah sibuk menguruskan urusan untuk mengeluarkan jenazah. Banyak perkara yang saya pelajari seperti mendapatkan pengesahan kematian oleh doktor. Selepas itu kena buat laporan kematian di Balai Polis dan akan dikeluarkan sijil kematian dan permit pengebumian. Dengan dua dokumen tersebut, kami terpaksa pergi ke hospital untuk mengeluarkan jenazah dan urusan-urusan lain.
Alhamdulillah. Untuk urusan pengebumian jenazah, jawatankuasa masjid telah banyak membantu saya. Semua urusan pengebumian seperti pembelian peralatan, menggali dan sebagainya diuruskan oleh mereka.
Pada malam itu, saya dan abang arwah tidak dapat melelapkan mata. Jam 10 pagi 25 Mac 2003, jenazah arwah dapat dibawa ke rumahnya dan selepas zohor, jenazah arwah selamat dikebumikan.
Suami arwah hanya menelefon semasa jenazah arwah dibawa pulang ke rumah dan saya memberikan jaminan bahawa semua urusan saya akan selesaikan dan supaya rakan saya itu meneruskan percutiannya. Dalam fikiran saya pada waktu itu, tiada masa saya nak marahkan dia. Hanya terlintas nak menyelesaikan urusan pengebumian sahaja.
Semasa jenazah di rumah, anak pertama dan kedua arwah sudah tahu ibu mereka sudah tiada. Tetapi anak kembar itu sibuk bertanya, "Kenapa mama tidur kena tutup?".
Sedih, sedih sangat saya pada ketika itu, hanya mampu memeluk dua kembar itu agar senyap tetapi air mata saya menitis juga. Saya kenal arwah ketika saya berada di Tingkatan 4 di MRSM. Masa itu saya dan rakan saya sama-sama belajar di sana. Semasa tingkatan 4, rakan saya menjadi yatim piatu kerana bapanya meninggal dan arwahlah yang selalu menjadi perangsang kepada rakan saya itu.
Semasa pengebumian, saya antara yang menyambut jenazah dari dalam lubang kubur untuk diturunkan ke liang lahad. Saya memegang bahagian kepala jenazah dan saya dapat rasakan yang arwah sedang merenung saya. Sedih pada masa itu. Anak-anak arwah hanya memandang sahaja. Tetapi bila tanah ditimbus menutup jasad ibu mereka, barulah kembar itu menangis dan isteri saya memujuk mereka berdua.
Suami arwah akan kembali pada hari Rabu 29 Januari 2003. Sehingga ke hari ini, setiap malam keempat-empat anak arwah tidur dengan kami. Mereka kata mereka rindukan arwah ibu mereka dan juga bapa mereka. Boleh dikatakan budak-budak itu selalu mengigau bila tidur. Mereka akan memanggil ibu mereka beberapa kali dan saya terpaksa memujuk dan mengatakan,
"Shhh.. senyap, senyap. Papa ada, pada ada di sini."
Saya berharap agar Allah berikan hidayah kepada rakan saya itu supaya dia sedar akan perbuatan kejamnya terhadap arwah.
Al-Fatihah untuk arwah.
Nota: Kisah benar ini untuk dijadikan sebagai renungan terutamanya bagi kaum lelaki bergelar suami. Setiap apa yang Allah kurniakan kepada kita tak kira sempurna atau tidak pada pandangan mata, ia adalah anugerah dan amanah yang tidak terhingga nilainya. Isteri dan anak untuk disayangi sampai bila-bila, bukan untuk dibuang bila sudah tidak berguna.
Sumber 'Selepas mengetahui isteri menghidap kanser, dia berkahwin lagi dan abaikan isteri pertama'
Tags:
thereporter