Sikap pengotor masyarakat punca kes denggi meningkat

Pada 24 Januari lalu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan, dilaporkan berkata Subang Jaya mencatatkan sebanyak 5,041 kes demam denggi dengan enam kes kematian sepanjang 2017.

Sebanyak 602 tempat pembiakan ditemui sepanjang tahun lalu dengan kes demam denggi tertinggi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang membabitkan 2,058 kes, diikuti DUN Seri Kembangan sebanyak 1,303 kes.

Kawasan DUN Subang Jaya pula mencatatkan 930 kes dan DUN Kinrara mencatatkan 750 kes, jumlah yang amat membimbangkan.

Statistik kes denggi

Menurut statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan pula sebanyak 82,314 kes denggi direkodkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga pertengahan Disember lalu.

Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 44,451 kes, satu jumlah yang cukup besar dan menakutkan.

Pelbagai program pembasmian dan pemusnahan sarang nyamuk aedes dilaksanakan, termasuk menerusi kes semburan kabus, namun jumlah kes masih pada tahap membimbangkan.

Satu faktor yang dikesan menjadi punca kes denggi terus meningkat ialah sikap segelintir penduduk yang pengotor dan suka membuang sampah merata tempat, akhirnya menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Gigitan nyamuk aedes tidak mengenal sesiapa, termasuk mereka yang menjaga kebersihan.

Sikap masyarakat

Hanya kerana sikap pengotor sesetengah anggota masyarakat, orang lain pula menjadi mangsa.

Cadangan supaya penduduk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu membersihkan kawasan kejiranan bagi memastikan kawasan kediaman bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes perlu diamalkan.

Kerajaan Selangor juga perlu mengutamakan kebersihan, jangan hanya pandai bercakap tetapi mesti bekerja keras mengurus sampah dengan sempurna, supaya statistik denggi dapat dikawal.

Penguatkuasaan undang-undang dengan kompaun lebih besar kepada kutu sampah dan memastikan negeri berkenaan bebas dari sampah perlu dilakukan segera.

Elum Endiam Kama
USJ6, Subang Jaya



Sumber Sikap pengotor masyarakat punca kes denggi meningkat

Post a Comment

Previous Post Next Post