Syor wujud akta khas pantau sumber dana pilihan raya

Bukan senang menguruskan kewangan parti politik di Malaysia, yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar. Ia termasuk perbelanjaan untuk kempen seperti membeli bendera, poster, papan tanda, upah petugas, penganjuran ceramah dan banyak lagi.

Ini termasuk penyediaan wang deposit calon yang bertanding selain pengurusan parti seperti membayar gaji, belanja pengangkutan dan sewa bangunan pejabat.

Semakin hampir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jumlah ini semakin meningkat kepada berkali-kali ganda. Soalnya, bagaimana parti politik di Malaysia mendapat dana atau wang?

Tiga sumber dana

Secara umumnya, ada tiga cara utama parti politik seluruh dunia mendapat dana, iaitu: Pertama, sumbangan ahli atau penyokong. Kaedah ini berlaku sama ada melalui yuran wajib, kutipan derma ketika ceramah, sumbangan tetap atau seumpamanya. Pemberian ini dibuat kerana sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada perjuangan parti berkenaan.

Kedua melalui subsidi kerajaan. Sesetengah negara menyediakan peruntukan khas untuk parti politik.

Agihan berdasarkan jumlah undi yang diperoleh, jumlah kerusi dalam dewan perwakilan atau menggunakan formula lain.

Ketiga pula melalui sumbangan korporat. Ia menerusi derma atau pemberian dana oleh badan korporat.

Daripada ketiga-tiga sumber dana di atas, cara yang ketiga terdedah kepada rasuah atau salah guna kuasa. Apa tujuan badan korporat memberikan wang kepada parti politik? Apa yang diharapkan dari 'derma' itu?

Elak rasuah

Terdapat andaian umum yang menganggap sumbangan badan korporat untuk mendapatkan balasan apabila parti yang disokong itu menang. Jika berlaku demikian ia adalah rasuah, atau disebut dengan istilah 'kick back'.

Sebab itulah negara demokrasi sebenar menetapkan peraturan ketat berkaitan sumbangan badan korporat kepada parti politik.

Antaranya mewujudkan undang-undang yang mewajibkan parti politik dan badan korporat mengisytiharkan sumbangan.

Terdapat juga larangan sumbangan daripada syarikat atau badan korporat yang mendapat projek daripada kerajaan. Perbelanjaan parti politik juga dikawal ketat oleh badan pengendali pilihan raya.

Dr Fathi Yusof,
Universiti Teknologi Malaysia



Sumber Syor wujud akta khas pantau sumber dana pilihan raya

Post a Comment

Previous Post Next Post