HULU KLANG: Genap usianya tujuh hari, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengumumkan nama puteri kesayangan mereka, Siti Aafiyah.
Siti, 39, memberitahu, Siti Aafiyah dipilih kerana nama itu cukup indah daripada segi maknanya.
“Nama ini saya dapat ketika menunaikan umrah. Saya dapati nama itu sering disebut dalam doa dan maknanya adalah yang baik-baik saja,” katanya pada pada majlis Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini, malam ini.
Sementara itu, Khalid, 59, berkata, selain membawa maksud yang indah, nama Siti Aafiyah mudah diingati.
“Nama ini dipilih berdasarkan doa diajar Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas yang bertanya apakah doa terbaik untuk dibaca.
“Dalam doa itu ada menyebut perkataan ‘Aafiyah’ yang membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, menjadi sihat dan mempunyai wang yang cukup.
“Berpandukan itu, saya namakan anak saya Siti Aafiyah,” katanya.
Beberapa jam lalu, buat pertama kalinya, wajah Siti Aafiyah yang dilahirkan seberat 3.55 kilogram dikongsi secara rasmi melalui video yang dimuat naik di Instagram, seperti yang dijanjikan pasangan itu.
Sejak dilahirkan di sebuah pusat perubatan di ibu negara, Isnin lalu, puteri sulung penyanyi yang baru muncul dengan single Comel Pipi Merah itu dipanggil ‘Fatimah Az-Zahra’, sempena nama anakanda Nabi Muhammad.
Selepas menanti 11 tahun, Siti melahirkan bayi sulung secara pembedahan pada jam 8.17 pagi, Isnin lalu. Berita kelahiran si ‘Comel Pipi Merah’ itu disambut riang peminat yang menanti detik bersejarah itu.
Ketika ini, Siti menjalani tempoh berpantang sebelum kembali aktif menjelang akhir tahun ini.
Sumber: Bharian
Sumber Siti Aafiyah nama anak Siti