CYBERJAYA, 20 Mac — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak tahu-menahu syarikat Cambridge Analytica beroperasi di Kedah.
Begitu juga bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru mendengar firma perunding politik itu yang kini dilanda kontroversi.
Didedahkan sejak hujung minggu lalu, Cambridge Analytica didakwa campur tangan dalam pilihan raya di banyak negara, termasuk di Malaysia.
Mengulas dakwaan pembabitan firma itu di Kedah pada pilihan raya 2013, ketua pegawai operasi SKMM berkata ia mungkin hanya untuk “berlagak”.
“Mungkin untuk mendapat keyakinan ramai, mereka berkata sesuatu ... Tetapi tidak apa, kami boleh semak,” kata Datuk Mazlan Ismail di sini.
Cambridge Analytica dilaporkan oleh stesen televisyen Channel 4 bersedia menggunakan rasuah, umpan wanita dan khidmat bekas perisik.
Ia menggunakan beberapa syarikat yang tidak aktif untuk menyembunyi kegiatan mereka di Mexico, Malaysia dan Brazil, lapor Reuters hari ini.
Firma itu berdepan siasatan Parlimen Britain selain dibantah oleh Facebook kerana memanipulasi data pengguna media sosial tersebut.
Sementara di Kuala Lumpur, Muhyiddin yang kini mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata beliau tidak pernah mengetahuinya.
“Ini kali pertama saya mendengarnya. Saya tidak tahu apa-apa,” katanya apabila mengulas sama ada Barisan Nasional pernah menerima khidmat tersebut.
Setelah kegiatannya didedahkan, termasuk oleh New York Times dan British Observer sejak Sabtu lalu, Cambridge Analytica menafikan semua tuduhan itu.
Firma itu menyatakan ia hanya berjenaka dengan Channel 4 kerana ingin mengetahui motif stesen itu bercakap dengannya isu etika dan aktiviti haram.
* Baca seterusnya di Malay Mail.
Sumber SKMM, Muhyiddin tidak tahu operasi Cambridge Analytica