Suami isteri terkejut mereka pernah 'dipertemukan takdir' ketika remaja

CHENGDU: Kisah ini membuka persoalan tentang suratan atau kebetulan.

Sepasang suami isteri di China terkejut kerana baru saja mengetahui bahawa mereka pernah ‘dipertemukan’ hampir 20 tahun lalu, dan semua bukti itu tanpa sengaja tercetak dalam sekeping gambar lama, lapor media tempatan, Sina News.

Ye dan isterinya Xue, bertemu dan jatuh cinta pada tahun 2011 di Chengdu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang anak perempuan kembar.

Namun hanya baru-baru ini, mereka menyedari bahawa mereka pernah melawat Dataran 4 Mei di bandar pesisiran laut, Qingdao, pada hari dan waktu yang sama.

Ye menyedari hal tersebut pada 4 Mac lalu di kediaman keluarga mertuanya, apabila dia sedang membelek gambar-gambar lama isterinya ketika muda.

Mengikut ceritanya, Xue pada tahun 2000 telah ke dataran itu bersama ibunya, yang bercuti di bandar itu selepas si ibu menjalani pembedahan.

Pada masa yang sama, Ye juga berada di dataran itu bersama rombongannya dan telah bergambar di hadapan tugu arca yang menjadi tarikan di situ.

Xue yang berpakaian serba putih turut bergambar di hadapan tugu arca di dataran itu, tanpa mengetahui bahawa kelibat seorang lelaki yang tanpa senagaja terakam dalam gambarnya, adalah lelaki yang dikahwininya 18 tahun kemudian!

Ye yang melihat latar foto isterinya itu serta-merta mengenali dirinya sendiri.

“Saya pernah dengar isteri saya kata dia pernah melawat Qingdao. Saya juga pernah ke situ dan bergambar di dataran tersebut. Namun selama ini tidak pernah mengesyaki apa-apa.

"Apabila asaya melihat gambar itu, saya terkejut dan bulu roma saya berdiri… Itu adalah saya, itu adalah ‘pose’ saya, namun dari sudut berbeza,” ujar Ye seperti yang dipetik dari portal Sina News.

Ye kemudian dapat mencari semula gambarnya di dataran itu dalam simpanannya untuk mengesahkan dan membandingkan kedua-dua gambar tersebut.

Bagi Ye dan Xue, penemuan itu suatu yang amat luar biasa, istimewa dan membawa kegembiraan berganda dalam hidup mereka sekeluarga.

Kini kisah mereka sudah menjadi viral di China, dan ramai yang mengulas bahawa mereka sememangnya ditakdirkan untuk bersama!



Sumber Suami isteri terkejut mereka pernah 'dipertemukan takdir' ketika remaja

Post a Comment

Previous Post Next Post