BAGAN SERAI, 17 Mac — Bumbung enam buah rumah di Kampung Parit Simpang 5, Alor Pongsu, dekat sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut semalam.
Ribut melanda pada 3.30 petang, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Seorang suri rumah, Saayah Hamdan, 66, berkata beliau berada di dalam rumah seorang diri ketika berlaku hujan lebat dan angin kencang.
Katanya ketika itu beliau melihat bahagian bumbung rumahnya seperti bergegar.
“Mak cik takut lalu lari ke kawasan sawah di belakang rumah kerana bimbang bumbung rumah runtuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Mohd Nizam Saad, 38, pula berkata rumah ibunya rosak teruk apabila bahagian bumbung diterbangkan angin.
Beliau berkata semasa kejadian ibunya Hasinah Hassan, 78, tiada di rumah kerana berada di rumahnya di Changkat Lobak.
“Apabila saya dan emak pulang ke rumah mendapati bumbung rumah telah tercabut dan berlaku kerosakan lain yang dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.
Sementara itu, anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali meninjau kerosakan yang berlaku dan melawat mangsa di tempat kejadian.
Katanya pihaknya akan memberi peruntukan wang untuk membaiki rumah mangsa yang terbabit supaya mereka dapat tingggal dengan selesa. — Bernama
Sumber Terasa bergegar, enam bumbung rumah diterbangkan ribut