BEIJING – CHINA. Gara-gara bertindak keterlaluan, seorang tetamu majlis perkahwinan menerima padah selepas dia ditampar pengantin perempuan dalam satu insiden di China.
Rakaman video yang turut menjadi tular menunjukkan tetamu terbabit menolak kepala dan memaksa wanita itu untuk melakukan upacara kowtow atau melutut di hadapan mertua seperti biasa dilakukan pasangan mempelai di negara tersebut.
Perbuatan biadab lelaki tersebut telah menyebabkan pengantin perempuan terbabit berang lalu dia berdiri dan menampar muka lelaki itu sebelum ditenangkan ahli keluarganya.
Menurut Kan Kan News, pasangan pengantin terbabit baru mahu memulakan upacara tradisional tersebut yang merupakan satu acara wajib sebagai simbol menghormati ibu bapa.
Rangkaian berita tersebut bagaimanapun tidak menyatakan tarikh dan di mana lokasi kejadian itu berlaku.
Beberapa pihak mendakwa ia mungkin prank atau gurauan kepada pengantin sempena hari bahagia mereka.
Sejak dua tahun lalu, kelakuan tidak senonoh tetamu biadab di majlis perkahwinan telah menjadi topik sosial di negara itu.
Pada November 2016, sebuah video menjadi trending selepas sekumpulan tetamu di Beijing memaksa pengantin menanggalkan pakaian dan mengadakan hubungan intim di hadapan mereka.
Dalam beberapa kes, prank perkahwinan telah menyebabkan kecederaan serius malah membawa kematian. – Daily Mail
Sumber Tetamu biadab makan penampar