8 MAC — Kewujudan agamawan dalam sesebuah parti seharusnya membantu proses “membetulkan” kebanyakan parti politik yang hilang kerasionalan. Islam sentiasa mengajar umatnya untuk mementingkan rasional dan manfaat rakyat. Malangnya, kebanyakan agamawan yang masuk parti politik hanya menghabiskan masa menghalalkan tindakan bosnya dan mencari dalil untuk mengharamkan tindakan musuh bosnya. Bukankah agamawan harus bersifat adil dan berani?
Agama semakin murah harganya. Para agamawan dan ulama diangkat di merata-rata tempat sehingga mereka dijadikan “askar” dalam mendominasi parti politik di Malaysia. Seakan-akan menjadi taktikal parti politik masa kini, golongan ulama dijadikan umpan dalam memancing sokongan rakyat kepada parti politik.
Fahaman agama yang salah
Apabila dikaitkan dengan parti politik, wujud satu fahaman dan pegangan yang perlu dipegang oleh ahli-ahli dalam parti tersebut termasuk golongan ulama. Apakah ulama parti ini mempunyai pendirian? Persoalan tentang akidah rakyat yang ada di Malaysia, kini sewenang-wenangnya ditentukan golongan ulama dalam parti politik.
Perselisihan yang acap kali berlaku atas nama agama akan membawa kepada perpecahan umat. Dengan menjadikan agama modal manifestasi sesebuah parti, golongan ulama secara langsung akan dirujuk untuk mencapai sesuatu keputusan. Namun, sejauh manakah golongan ulama berupaya mengangkat hujah dalam pertembungan sesuatu isu?
Antara isu yang pernah mendapat penentangan dari umat Islam ialah isu baiah talak tiga, undi rosak, isu pemimpin bukan Islam, hudud dan banyak lagi. Mereka sering menggunakan ayat-ayat Quran dan dogma agama untuk memastikan ahli yang cuba bersuara untuk kembali berpegang kepada pendirian parti dan tidak banyak bersuara.
Pemerhatian saya melalui isu ini, ulama harus berperanan secara lebih meluas dalam isu hukum dan taklid yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti. Sosok tubuh yang disandarkan menjadi harapan dalam membela umat amnya dan memelihara pembawaan Islam khususnya. Malangnya, kehadiran mereka sekadar menjadi pengampu dan pak turut untuk mendapatkan pangkat di sisi majikan yang lebih tinggi kuasanya.
Belajar dari ulama dahulu
Jika disingkap kisah ulama terdahulu seperti Hamka, Syed Qutb, dan Hassan Al-Banna, mereka sanggup mengorbankan diri hingga dipenjarakan kerana memberi pendapat yang benar walau bertentangan dengan pendapat pemimpin ketika itu. Maka, ia jauh berbeza dengan keadaan ulama kini yang lebih mengutamakan periuk nasi sendiri.
Melihat semula kepada keadaan semasa, menjelang PRU 14, banyaknya muncul parti baru dengan agenda mencelarukan rakyat. Parti tersebut juga mengakui mereka membawa Islam. PAS, Umno, Amanah, PKR, dan PPBM merupakan parti-parti yang mempunyai penasihat agama Islam dalam kalangan ulama di Malaysia.
Sering wujud perbezaan pandangan isu agama antara parti-parti tersebut. Persoalannya, parti manakah yang akan menjadi kiblat rakyat? Kekeliruan yang tidak didatangkan dengan hujah dan hukum Islam sebenar, hanya mendatangkan keburukan buat rakyat kebanyakan. Mudahnya, ia menjadi fitnah buat agama itu sendiri.
Ulama dalam parti politik seharusnya dilihat dalam kerangka yang lebih luas dengan fikiran penuh terbuka dan waras. Apa jua yang berlaku dalam politik, ia tidak rigid dan tidak statik. Ulama itu seharusnya memberi nafas baru dalam pembawaan politik itu sendiri. Ulama adalah pewaris para nabi, sosok tubuh untuk membela umat khususnya. Malang bagi kita, jika ulama yang diangkat, kini keutamaannya untuk mengumpul harta dunia. Semoga ulama yang ada mampu menjadi penyuluh kepada rakyat bukan menindas dengan hukum-hukum yang menjerut rakyat.
* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail
Sumber Ulama parti: Pengampu, pak turut? — Aqilah Zanuzi