KUALA NERUS: Sudah tiba masanya masyarakat di DUN Bukit Tunggal memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ini kerana walaupun kawasan itu ditakluk PAS sejak 2 PRU lepas, BN tetap memainkan peranan membantu dan menjaga kebajikan rakyat tanpa “membalas dendam” terhadap pilihan penduduk sebelum ini.
Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Tunggal, Tuan Arif Shahibu Fadzilah Tuan Ahmad berkata, rakyat kini mampu melihat bagaimana kegigihan BN membantu masyarakat di situ sejak 2 penggal lalu berikutan PAS dilihat lepas tangan dan tidak memberi perkhidmatan kepada masyarakat seperti yang diharapkan.
“Dengan kerja kuat dan sokongan padu anggota Umno dan jentera parti, kita yakin dapat menebus kembali Bukit Tunggal daripada tangan pembangkang pada PRU yang dijangka tidak lama lagi,” katanya.
Katanya, sejak 4 tahun lepas pelbagai program untuk rakyat dijalankan di situ seperti membaik pulih rumah dan menyediakan kemudahan asas, terutama membina dan membaiki jalan serta membuat longkang baharu.
Beliau berkata, bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan turut disalurkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan bagi membantu kehidupan harian.
“Paling teruja ialah ketika melihat kehadiran orang ramai pada program Cakna Kesihatan awal bulan ini yang menyediakan 16 doktor untuk memberi khidmat kesihatan kepada penduduk kampung Bukit Tunggal dan kawasan sekitar yang mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Bayangkan kalau Bukit Tunggal bawah naungan BN, sudah pasti lebih banyak bantuan untuk rakyat dapat disalurkan dan pelbagai projek pembangunan di kawasan itu dapat dijalankan dengan lebih pesat dan konsisten,” katanya.
Setiausaha Umno Kuala Nerus, Mohamad Yusof berkata, tidak ada pihak dapat menyangkal usaha Umno ketika ini dan realiti PAS tidak bersungguh-sungguh membantu rakyat.
“Wakil rakyatnya tidak pernah turun padang menjenguk rakyat. Mereka hadir cuma semasa ada kematian, itupun pilih-pilih orang…kalau orang dia, mereka hadirlah, rugi jika penduduk Bukit Tunggal mahu duduk di takuk lama kerana parti pilihan mereka tidak memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Calon PAS, Dr Alias Razak mempertahankan kerusi DUN Bukit Tunggal apabila menewaskan calon BN, Ismail Nik pada PRU13 dan Tuan Arif Shahibu Fadzilah pada PRU12.
Sumber Umno: Tiba masa Bukit Tunggal pilih BN, tak ‘balas dendam’