“SAYA hidup lagi atas muka bumi ini pun atas sifat panjang umur yang diberikan Allah SWT,” kata penulis lirik tersohor Bob Lokman yang dirawat di Hospital UiTM Sungai Buloh akibat masalah jantung, buah pinggang dan paru-paru.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 54, berkata dia kini mengalami kesukaran bernafas dan sukar untuk tidur.
“Dua kali saya ditahan di wad iaitu pada 2 dan 14 Januari lalu, namun dibenarkan keluar selepas menerima rawatan. Tapi pada 21 Februari lalu, saya sekali lagi ditahan (wad) sampailah hari ini.
“Jika dikira sudah 20 hari saya berada di wad sepanjang bulan lalu dan bulan ini. Jantung lemah, kemudian datang pula masalah paru-paru berair.
“Ketika ini doktor perlu seimbangkan keperluan air dalam badan saya. Paru-paru tak boleh terima lebihan air, tapi pada masa sama buah pinggang memerlukan cecair dalam jumlah tinggi,” katanya ketika ditemui.
Akibat masalah kesihatan dialami penulis lirik lagu berhantu Isabella dan Taman Rashidah Utama itu kelihatan tidak bermaya, malah nada suaranya juga tidak begitu jelas.
Katanya, dia perlu mengambil 12 jenis ubat termasuk untuk darah tinggi, kencing manis selain ubat bagi mengelakkan serangan angin ahmar (strok).
“Jika strok jadi masalah lain pula, orang kena basuh berak kita dan sebagainya. Apa pun, saya bersyukur kerana boleh hidup hampir 60 tahun.
“Apa nak lagi. Sekarang saya kena sediakan persiapan untuk isteri dan anak-anak.
“Kesakitan ini bukan sia-sia melainkan pengajaran untuk saya menghabiskan usia. Terima kasih sahabat beri sokongan, malah yang tidak kenal pun ada menyokong termasuk memberikan bantuan kewangan,” katanya.
Menurutnya, jika ditakdirkan sihat semula dia mahu meneruskan rancangan meluaskan perniagaan katering dan nasi Arab di sebuah tapak bersama bekas penggiat industri rakaman yang kini berkecimpung dalam industri penerbangan, Datuk Aziz Bakar.
Hasil perkongsian hidupnya dengan Relawati Daud, 40, pasangan itu dikurniakan lapan anak, Mohamad Adam, 25, Omar Hakim, 24, Ahmad Sufian, 23, Ahmad Rayyan, 12, Nur Amanee, 10, Luqmanulhakim, 9, Muhammad Danial, 6 dan Nur Amalin, 4.
Ketika ditanya mengenai rakan artis yang melawat dan membantunya, katanya, antara yang datang menziarah ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia Zed Zaidi, Datuk M Nasir dan Ramli Sarip.
Sumber: Metro
Sumber Video: Penulis lirik Isabella berdepan ujian hidup