1,131 orang berpotensi cetus kacau pada PRU14 dikenal pasti

Kesemua mereka berada dalam pemantauan pihak polis, menurut Tan Sri Fuzi Harun.

KUALA TERENGGANU: Polis mengenal pasti 1,131 individu di seluruh negara yang berpotensi menimbulkan kekacauan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, daripada 171 kawasan panas pula, sebanyak 31 kawasan adalah di Terengganu.

“Kesemua mereka berada dalam pemantauan pihak polis. Kita bukan nak menimbulkan ketakutan atau ugut sesiapa tapi kita nak pastikan mereka ini yang berpotensi menimbulkan kekacauan tidak akan menimbulkan masalah semasa perjalanan proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis apresiasi bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sempena Hari Polis ke-211 yang turut dihadiri, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail hari ini.

Mohamad Fuzi berkata 25% daripada 3,500 polis seluruh Terengganu akan digembleng untuk memastikan perjalanan PRU14 berjalan lancar di seluruh negeri ini.

“Manakala 25% lagi anggota akan kekal menjalankan kerja-kerja hakiki harian.

“Kita juga sediakan masing-masing 2 pasukan untuk anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bagi memastikan pilihan raya ini berjalan dengan selamat dan terkawal,” katanya.

Beliau juga menekankan, Terengganu negeri yang amat aman untuk perjalanan PRU14 setakat ini, kadar indeks jenayah juga berjaya dikurangkan lebih 30% pada 3 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, itu bukanlah bermaksud tiada insiden akan berlaku di Terengganu pada PRU14 nanti, cuma kita ingin tegaskan semua persediaan rapi dibuat termasuk kekuatan anggota dan aset bagi memastikan pengundi dapat keluar dengan selamat,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber 1,131 orang berpotensi cetus kacau pada PRU14 dikenal pasti

Post a Comment

Previous Post Next Post