Di awal alam persekolahan bagi murid-murid tahun satu, pastinya ada banyak ragam yang perlu dihadap sama ada guru ataupun ibu bapa. Dalam banyak-banyak isu yang dibangkitkan, isu duit anak-anak sering diambil oleh rakan-rakannya amat perlu diberi perhatian kerana menurut guru ini, ia agak memberikan masalah.
Sebagai langkah menangani masalah ini, Cikgu Mohd Fadli Salleh menyeru ibu bapa memainkan peranan mereka untuk mendidik anak-anak apabila berada di sekolah. Ini bagi mengelakkan timbulnya isu-isu yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan ketiga-tiga pihak iaitu guru, ibu bapa dan murid.
AKU nak dedahkan kepada ibu bapa tentang masalah yang sering anak kalian buat di sekolah dan ramai ibu bapa tidak tahu hal ini.
1. MINTA DUIT KAWAN
Masalah ini berlaku saban hari di sekolah melibatkan murid tahun 1-6. Banyak aduan diterima setiap hari dan sebenarnya lebih banyak aduan disembunyi. Ibu bapa tolonglah didik anak-anak di rumah agar tidak meminta duit kawan meskipun duit dia sudah habis. Suruh jumpa guru kelas atau guru bertugas.
Masalah ini paling sukar aku hadapi. Dah pesan banyak kali pada murid jangan pinjam duit. Lapor kepada cikgu jika ada murid lain meminta duit. Laporan tiada, tup-tup mak ayah mesej mengadu duit anaknya selalu diminta oleh rakannya.
Apabila dipanggil anak dia dan tanya kenapa beri sedangkan cikgu sudah pesan?
"Jika tak beri, dia tak nak kawan," jawab si anak selamba.
Letih main dengan isu budak minta duit ini. Ada yang terkumpul lebih RM30 pun ada. Sehari minta RM1 atau RM2. Akhirnya aku terpaksa menghubungi ibu bapa maklumkan tentang hal ini. Terkejut ibu bapa dengan sikap anak sendiri yang suka meminta duit kawan. Padahal mereka sudah berikan duit belanja lebih dari cukup. Ada yang beri duit belanja RM5 pun masih meminta duit dari kawan.
Lebih seram, ibu bapa tak terima aduan guru. Kata kawan anaknya mereka cerita dan anak dia baik sangat. Selepas itu twist cerita barang-barang anaknya selalu diambil orang, kena tolak, kena pukul dan sebagainya. Aduh!
2. SELALU TINGGAL BARANG
Cikgu-cikgu kelas terutama Tahun Satu sangat maklum hal ini. Setiap hari sebakul pensel dikutip. Setiap hari sebakul pemadam, pensel warna dan pembaris ditinggalkan. Di kantin, berpuluh botol air tidak dituntut.
Masalah tinggal barang sahaja, tahan lagi. Pulang ke rumah, dia cerita kawan dia yang curi, kawan dia yang ambil. Padahal dia tak kena marah dengan ayah ibu. Hat ni masalah besar. Maka ibu bapa menghubungi guru bercerita barang anaknya selalu dicuri oleh si polan bin polan.
Sudahnya, cikgu pula yang kena menjadi penyiasat dan siasat dakwaan kes. Bila cikgu panggil murid yang dituduh itu, murid ini pulang ke rumah dan cerita pada mak dan ayah dia kononnya cikgu tuduh dia mencuri. Padahal baru saja siasat dan bertanya apakah benar dia ada mengambil barang kawannya itu? Padahnya, mak dan ayah murid itu pula menyerang guru. Aduh lagi.
3. SUKA MENGAMBIL BARANG ORANG
Hat ni memang ada. Barang orang suka sangat padahal barang dia lagi mahal dan banyak. Pantang kawan pusing belakang, barang atas meja terus hilang.
Pernah berlaku di mana ada seorang murid membawa pulang buku teks kawannya. Bukan satu, tetapi tiga buku teks yang sama dia ambil. Nak buat apa entah?
Bekas pensel dia semua penuh dengan 'harta rampasan perang'. Jenis yang suka minum dan makan bekal kawan pun ada juga. Tanpa meminta masalahnya. Tengok kawan bawa air sedap, kawan itu pergi saja ke tandas, habis separuh air dia balun. Kawan itu ralit buat kerja, sepatu lagi dia minum. Akhir sekali tinggal tujuh titik saja air Rebine kawannya itu. Itupun bercampur air liur tinggalan 'pembalun' lima titik.
Jadi ibu bapa, dengarlah nasihat aku guru tahun satu ini. Walau kalian bagi duit belanja kepada anak-anak, walau anak kalian baik ketika berada di rumah, kena pesan setiap hari 'Jangan Minta Duit Kawan!'. Walau berkodi-kodi alat tulis kalian sediakan, kena selalu periksa beg anak-anak. Jumpa barang yang bukan hak milik dia, terus suruh dia pulangkan esok hari walaupun dia kata kawan yang beri.
Kalau anak balik, cerita barangnya diambil oleh kawan, jangan terus percaya. Kemungkinan besar dia sendiri yang tertinggal barang itu atau barangnya terjatuh tetapi dia tak kutip.
Cukuplah tiga perkara itu dulu aku kongsikan malam ini. Kalau ikutkan ada banyak lagi. Lain kalilah pula aku cerita.
Sumber 'Ajar anak jangan minta duit dan ambil barang kawan sekolah' - Kerap terima aduan, guru seru ibu bapa mainkan peranan didik anak
Tags:
thereporter