“Arwah ditemui dalam keadaan terlangkup di dalam buaian dan tidak sedarkan diri”
Siapa menyangka, anak yang dikandung selama sembilan bulan, dimanja dan diberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi meninggalkannya dengan sekelip mata. Sukar untuk menerima ujian ini, tetapi bagi Shazzy Wanie, dia akur dengan ketentuanNya.
Mikhael Sufyan, anak kepada Shazzy Wanie telah meninggal dunia pada 06/04/2018 akibat lemas di dalam buaian. Kejadian yang tidak diingini itu berlaku di rumah pengasuh. Hasil bedah siasat mendapati, terdapat banyak lendir pada paru-paru bayi berkenaan.
Menurut Shazzy dia tidak menyalahkan sesiapa tetapi menganggapnya sebagai takdir. Shazzy juga berkata semasa di rumah, dia tidak menggunakan buaian sebaliknya hanya dibenarkan di rumah pengasuh atas permintaan pengasuh. Semasa kejadian, arwah dihantar di dalam keadaan yang ceria, aktif dan hanya selesema.
ASSALAMUALAIKUM semua. Alhamdulillah selesai sudah urusan pengkebumian jenazah anak lelaki kesayangan kami, Mikhael Sufyan pagi tadi. Hujan renyai turun sewaktu solat jenazah dijalankan dan cuaca redup di tanah perkuburan memudahkan segala urusan.
Syukur alhamdulillah Allah pinjamkan selama 10 bulan seorang anak lelaki cukup sempurna untuk kami bermanja dan berkasih sayang. Dah tiba masa untuk dikembalikan pinjaman Allah yang paling bernilai itu.
Ramai yang bertanya apa yang terjadi, berat untuk saya ungkapkan dengan kata-kata kerana ajal dan maut telah ditentukanNya. Cuma asbabnya saja mungkin berbeza-beza. Tiada niat saya untuk menyalahkan mana-mana pihak. Sekadar untuk perjelaskan apa sebenarnya yang dah berlaku supaya tidaklah ramai tertanya-tanya.
Sudah menjadi bahagian Mikhael meninggal dunia akibat lemas dalam buaian di rumah babysitter dan bahagian saya dan keluarga untuk menerima takdir dariNya. Arwah ditemui dalam keadaan terlangkup di dalam buaian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi lagi sewaktu tiba di klinik berhampiran. Walaupun bantuan pernafasan telah diberikan di dalam ambulance sewaktu perjalanan ke hospital, dan juga sewaktu tiba di hospital, malangnya, masih tiada respon.
Anak kesayangan kami disahkan meninggal dunia pada hari Jumaat penuh barakah, 6/4/2018, jam 1.20 tengahari. Hujan turun selebat-lebatnya turut menangisi pemergian anak kami. Sungguh, cukup berat ujian dariNya buat kami sekeluarga. Namun, kami redha dengan ketentuan dariNya dan syukur dengan nikmat dalam ujian ini.
MIKHAEL SUFYAN ANAK YANG TERPILIH UNTUK JADI ANAK SYURGA dan kami IBUBAPA TERPILIH UNTUK MEMILIKI ANAK SYURGA.
Allahuakbar. Perkara yang paling mommy takutkan selama ini, berlaku akhirnya. Kehilangan seseorang yang sangat kami sayangi. Moga Allah ganti dengan sebesar-besar ganjaran dan hikmah buat kami sekeluarga dan dititipkan ketabahan, kesabaran, ubati kerinduan dan kesedihan ini untuk harungi kehidupan mendatang. Aamin, in sha allah.
Terima kasih buat semua yang bersama-sama kami dari awal hingga akhir urusan. Mohon sedekahkan Al Fatihah untuk #MikhaelSufyan ya bila ada kelapangan. Terima kasih.
UPDATE 08/04/2018:
Terima kasih atas doa kalian semua. Sememangnya membantu saya lebih kuat menerima kehilangan. Maaf, belum ada kekuatan untuk balas komen, WhatsApp dan lain-lain. Hati dan jiwa masih rapuh lagi dalam usaha pulihkan semangat anak sulung Melissa Sofea yang juga rindukan adik kesayangannya.
Saya terbaca ramai yang bertanya tentang buaian. Saya memang tidak gunakan buaian untuk anak-anak di rumah sendiri tetapi atas permintaan babysitter untuk memudahkan urusan menjaga anak saya bersama anak-anak asuhan lain, saya benarkan untuk anak saya diletakkan di dalam buaian. Setahu saya buaian yang digunakan di rumah babysitter jenis berlubang tanpa bantal.
Berbalik pada hari kejadian, arwah dihantar ke rumah babysitter dalam keadaan aktif, happy, hanya selsema. Malah, malam sebelumnya merupakan hari pertama arwah berdiri sendiri tanpa support. Saja nak buat mommy daddy happy kot.
Anyway, hasil post mortem, paru-paru arwah banyak lendir dan itu jadi asbab arwah mudah sesak nafas dan lemas bila terlangkup di dalam buaian. Sedangkan memang habit tidurnya mengiring atau meniarap. Seperti yang saya katakan, itu semua asbab untuk pemergiannya yang sememangnya telah tertulis. Mungkin Allah tahu saya tidak cukup kuat jika arwah anak pergi sewaktu dalam jagaan saya, maka diambil kesayangan saya sewaktu dia bersama orang lain.
Allahuakbar... Allahuakbar.... Allahuakbar!!!
Sumber 'Allah pinjamkan Mikhael selama 10 bulan' - Arwah ditemui lemas dalam buaian
Tags:
thereporter