'Bukaan 2 cm, 4 cm, 8 cm, 10 cm pada pintu rahim itu apa?' - Doktor beri penjelasan agar golongan ibu hamil dan suami faham

Bersalin adalah satu proses semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada setiap wanita yang mengandung. Tidak ada mana-mana wanita mengandung yang akan kekal mengandung selama hayat mereka, cukup tempoh anak akan keluar melalui saluran peranakan ibu sebagai satu tindak balas semula jadi sistem tubuh mereka.
Apabila seseorang ibu hamil itu sudah bersedia untuk bersalin, maka serviksnya akan terbuka antara 0 ke 10 cm. Vaginal examination akan dilakukan bagi menentukan saiz bukaan yang diukur berdasarkan kelebaran jari yang boleh dimasukkan ke dalam bukaan serviks. Bacalah perkongsian dari Doktor Muhammad Eizat ini, semoga bermanfaat untuk semua.
SALAH satu tanda ibu telah bersedia untuk bersalin adalah dengan melihat kepada pembukaan pintu rahim. Dalam keadaan biasa pangkal rahim yang terletak di dalam vagina berada dalam keadaan tertutup dan tidak membuka. Kadang-kadang ianya terbuka sikit untuk mereka yang pernah melahirkan banyak anak. 
Apabila sakit kontraksi bermula, pintu rahim ini menjadi semakin nipis dan perlahan-lahan akan membuka. Darah bercampur lendir dinamakan 'show' akan keluar dan ini dikenali sebagai tanda nak bersalin. 
Pangkal rahim ini akan membuka perlahan-lahan bermula dari 1 cm sehinggalah diameternya mencecah 10 cm sebelum ibu boleh meneran bayi keluar. 
Bukaan pintu rahim ini ditentukan oleh Vaginal examination dilakukan oleh doktor atau jururawat perbidanan terlatih dengan memasukkan jari ke dalam vagina, sekaligus mengukur bukaan pintu rahim dengan jari sahaja. 
Jangan panik, ramai ibu berasa takut dan gundah gulana memikirkan mengenai Vaginal examination. Lebih-lebih lagi ibu yang tiada pengalaman bersalin. 
Sebaiknya bertenang, tarik nafas dan hembus secara perlahan-lahan. Jangan keraskan badan, jangan kemut sekuat-kuatnya kerana pemeriksaan akan menjadi sukar dan ibu akan berasa sakit. 
Selain memberitahu mengenai bukaan pintu rahim, vaginal examination juga akan memberitahu mengenai pintu rahim masih keras atau sudah bertambah lembut, kedudukan kepala bayi, selaput air ketuban masih ada atau tidak, terdapat uri atau tali pusat ketika pemeriksaan. 
Maka vaginal examination ini bukan suka-suka dilakukan. Ianya penting untuk menilai sejauh mana proses kelahiran itu sudah sampai. Di dalam dewan bersalin, ianya dilakukan setiap empat jam atau lebih awal jika doktor merasakan pemeriksaan perlu diawalkan, bergantung pada keadaan. 


Sumber 'Bukaan 2 cm, 4 cm, 8 cm, 10 cm pada pintu rahim itu apa?' - Doktor beri penjelasan agar golongan ibu hamil dan suami faham

Post a Comment

Previous Post Next Post