Bukan desak, Pemuda Perlis mahu jadi calon

KANGAR, 17 April — Dalam memastikan khidmat bakti kepada golongan muda diteruskan dengan lebih baik, Pemuda Umno Perlis menaruh harapan supaya ada beberapa pemimpinnya diberikan peluang menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya Syed Atif Syed Abu Bakar berkata pihaknya bukan bermaksud ingin mendesak pucuk pimpinan parti, malah memberi jaminan akan menyokong 100 peratus sesiapa sahaja yang dicalonkan dan akan menjadikan kemenangan calon sebagai keutamaan mereka.

Syed Atif yang juga Pengerusi Pemuda BN Perlis berkata pergerakan itu memainkan peranan penting bagi menjamin parti terus mendapat sokongan rakyat terutama daripada pengundi muda.

“Faktor calon yang memenuhi kehendak pengundi sangat penting kerana mereka (pengundi) mungkin menolak calon yang tidak disukai. Fakta ini terbukti pada PRU13 apabila beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi dengan majoriti tipis,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 10 peratus daripada lebih 150,000 pengundi berdaftar di negeri ini adalah pengundi muda yang pertama kali mengundi.

Syed Atif berkata di Perlis, pembangkang tidak ada isu tempatan untuk dimainkan bagi mempengaruhi pengundi dan dalam hal ini, Pemuda Umno negeri berterusan berusaha mendekati golongan muda bagi menjelaskan kepada mereka usaha yang dilakukan kerajaan BN dalam menangani isu ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Saya fikir BN Perlis berada pada tahap terbaik untuk memenangi PRU kali ini dengan cemerlang termasuk menawan kerusi DUN Indera Kayangan dan Sanglang masing-masing daripada PKR dan PAS selain mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Perlis, Mohd Aishamuddin Yaakob berkata BN wajar memberi peluang kepada calon muda kerana golongan itu lebih memahami kehendak generasi mereka.

“Pengundi sekarang bukan sahaja menilai parti tetapi individu juga. Jadi, lebih baik kita letak calon muda yang tidak bermasalah untuk mendapatkan sokongan pengundi muda,” tambahnya. — Bernama



Sumber Bukan desak, Pemuda Perlis mahu jadi calon

Post a Comment

Previous Post Next Post