Calon PH diumum lepas mesyuarat 25 April, kata Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih meneliti ciri-ciri dan teknikaliti calon PRU14. ― Foto oleh Yusof Mat IsaDatuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih meneliti ciri-ciri dan teknikaliti calon PRU14. ― Foto oleh Yusof Mat IsaPERMATANG PAUH, 11 April — Calon-calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diumumkan selepas mesyuarat kepimpinan pada 25 April ini di Kuala Lumpur.

Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mesyuarat itu akan turut dihadiri oleh semua calon yang akan bertanding pada PRU berkenaan.

“Saya masih meneliti ciri-ciri dan teknikaliti calon yang akan bertanding pada PRU14. Saya seorang yang sign (tandatangan) untuk semua calon-calon, jadi mereka harus hadir untuk mendengar taklimat pada 25 April nanti.

“Saya dan pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi amanat terakhir sebelum mereka diumumkan sebagai calon PRU14,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Negeri bersama ketua menteri Lim Guan Eng, di sini hari ini.

Ditanya tentang keengganan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin untuk bertanding di Selangor, Wan Azizah berkata perkara itu belum diputuskan.

“Kami ada jawatankuasa saringan untuk menentukan siapa yang sesuai bertanding, kami belum menentukan lagi...tunggulah sampai mesyuarat pada 25 April nanti,” katanya.

Beliau juga berkata calon-calon PH tidak akan menjalani saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 April sebagai tarikh penamaan calon, 5 Mei untuk pengundian awal dan 9 Mei sebagai hari pengundian untuk PRU14. — Bernama



Sumber Calon PH diumum lepas mesyuarat 25 April, kata Azizah

Post a Comment

Previous Post Next Post