AMPANG: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kritikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) terhadap beliau secara tidak langsung membantu Pakatan Harapan (PH) lebih dikenali rakyat.
“Ia berkesan untuk menjadikan Pakatan Harapan lebih popular. Anda sudah lihat komen di dalam Instagram dan Youtube, itulah komen rakyat. Saya rakyat juga, tetapi saya tidak mahu komen,” kata pengerusi PH itu dalam program “Fund raising luncheon: The Battle for Johor” di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Dr Mahathir bukan mahu menyelamatkan negara, tetapi bekas perdana aktif berpolitik kerana bimbang dengan masa depan anaknya.
“Rakyat jangan mudah tertipu dengan individu lidah bercabang dua seperti ular. Buat masa ini individu tersebut bukan ingin selamatkan negara, tetapi apa yang dia sedang lakukan sekarang adalah kerana takut apa akan terjadi kepada anak-anaknya pada masa akan datang.
“Sedangkan orang yang paling kaya di dalam dunia pun belum pasti mampu untuk melahirkan 3 anak ‘billionaire’,” tulis TMJ di Facebook Johor Southern Tigers malam tadi.
Tanpa menamakan Dr Mahathir, Tunku Ismail berkata, bekas perdana menteri itu bertanggungjawab memansuhkan kuasa sultan, rujukan jelas terhadap pindaan Perlembagaan pada 1990-an.
Hari ini, Dr Mahathir berkata, mereka yang berminat menjadi ahli politik perlu bersiap sedia dikritik.
“Sekarang ini ramai mahu sertai politik, anda tahu jika sertai politik, anda mendedahkan diri anda dengan pelbagai gelaran keji.
“Saya sudah digelar dengan mahazalim, mahafiraun, diktator dan pelbagai nama yang tidak enak lagi. Jika sertai politik, mereka akan dapati semua gelaran keji ini akan menjadi nama baru anda.
“Saya nasihati siapa yang tidak tahan digelar dengan gelaran keji, jangan ambil bahagian dalam bidang politik.”
Dr M bukan mahu selamatkan negara, tetapi anaknya, dakwa TMJ
Sumber Dr M: Kritikan TMJ bantu PH jadi lebih popular