Elak ‘cah keting’ tidak dicalon, veteran Umno sedia kaunselor

Rozali bersetuju dengan nasihat Datuk Seri Najib Razak supaya penyandang yang bercita-cita menjadi calon akur dan terus setia kepada parti sekiranya digugurkan. — Foto oleh Miera ZulyanaRozali bersetuju dengan nasihat Datuk Seri Najib Razak supaya penyandang yang bercita-cita menjadi calon akur dan terus setia kepada parti sekiranya digugurkan. — Foto oleh Miera ZulyanaKOTA BARU, 19 April — Umno Kelantan perlu bersatu dan bekerja keras dalam satu pasukan yang mantap sekiranya ingin melihat Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak.

Beliau berkata kelompok yang tidak berpuas hati terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan sehingga menimbulkan “kekacauan” yang menjejaskan peluang BN untuk menang sentiasa wujud dalam setiap kali pilihan raya sehingga “cah keting” (sabotaj) sinonim dengan politik Umno Kelantan.

“Yang dipilih menjadi calon sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen hanya seorang sahaja tetapi yang berminat ramai, bila dia tidak dicalonkan dia akan cari jalan supaya calon yang dipilih itu dikalahkan, ini satu perkara yang tidak baik dan perlu dihindarkan,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

BN Kelantan bakal mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen pada PRU14 ini sebelum 25 April ini.

Hari penamaan calon ialah pada 28 April dan pengundian pada 9 Mei ini.

Rozali, 68, bersetuju dengan nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak supaya semua penyandang atau pemimpin yang bercita-cita ingin menjadi calon akur dan terus setia kepada parti sekiranya digugurkan atau tidak terpilih.

Bekas timbalan menteri besar Kelantan itu berkata perjuangan adalah untuk menang sebagai sebuah pasukan dan bukannya atas nama individu maka utamakan parti dan lupakan kepentingan peribadi.

“Bila sudah ada kepala pasukan (calon yang dipilih) maka kita sokong lah, dia dipilih pucuk pimpinan parti, bukan pilih main-main, dia dipilih melalui kajian segala sumber maka terimalah dia sebagai calon yang terbaik,” katanya.

Rozali, yang juga Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kelantan dan bekas Anggota DUN Dabong selama tiga penggal dari 1986 hingga 1999, berpendapat penyandang tidak boleh menganggap 'berhak untuk menjadi calon seumur hidup' kerana akan kecewa apabila tidak terpilih.

“Ada masa dia (penyandang) kena beri pada orang lain, saya hanya tiga penggal menjadi wakil rakyat masa itu umur saya 49 tahun sepatutnya boleh lagi hingga umur lebih 50 tahun tetapi kita bukan nak tongkat langit, berilah peluang kepada orang lain.

“Kalau anda duduk terlebih lama (sebagai penyandang) anda akan berhadapan dengan tentangan orang ramai maka adalah lebih baik penyandang yang tidak terpilih ini usah kecewa sebaliknya bantu calon yang mewakili pasukan kita untuk menang PRU14,” katanya.

Beliau menasihatkan pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon usah bertarung secara individu bagi mengubat kekecewaan kerana ia tidak akan membawa kemenangan.

Selain Badan Perhubungan Umno Kelantan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menangani isu-isu yang timbul sebaik senarai calon BN itu diumumkan, Veteran Umno Kelantan turut menyediakan kaunselor untuk memberi kaunseling kepada bakal calon yang tidak terpilih.

Rozali berkata kaunseling itu penting supaya mereka terbabit tidak menjauhkan diri membawa kekecewaan bersama kumpulan penyokongnya yang akhirnya akan merugikan parti dalam usaha memenangi pilihan raya.

Pihaknya mempunyai anggota yang mencukupi dan berpengalaman di setiap Parlimen dan DUN untuk menangani sekiranya berlaku insiden tidak berpuas hati berkaitan calon, katanya.

Justeru, beliau melihat BN mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya umum ini yang antara faktornya ialah pertandingan tiga penjuru yang dijangkakan antara BN, PAS dan Pakatan Harapan selain perpecahan dalaman PAS sehingga lahir parti serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah).

“Faktor-faktor tersebut dilihat memberi kelebihan kepada BN namun sekiranya masih wujud masalah dalaman parti seperti isu calon, Umno perlu segera menanganinya dengan pantas dan berkesan,” katanya. — Bernama



Sumber Elak ‘cah keting’ tidak dicalon, veteran Umno sedia kaunselor

Post a Comment

Previous Post Next Post