PETALING JAYA, 19 April — Pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain yang membuat kenyataan “paha melimpah” seorang yang taat beragama, kata Datuk Rizalman Ibrahim.
Pereka terkenal itu berkata walau “berpakaian tidak seiring usia” orang ramai tidak sepatutnya mencaci Zaihani atau Kak Zai, lapor mStar Online.
“...beliau yang saya kenali sentiasa menjinjing beg telekungnya ke mana-mana dan sentiasa menghadiri pertunjukan fesyen bermula dengan menanti di dalam surau berdekatan supaya tidak terlepas mana-mana waktu solat,” katanya.
Kenal rapat dengan Zaihani, juri program realiti “Gen F” menyifatkan kecaman hanya menjadikan wanita tersebut sebagai “orang paling suci di dunia”.
“Dan segala komen-komen kita berbaur penghinaan kita itu telah memberatkan timbangan dosa kita,” kata Rizalman.
Memohon maaf, wanita itu hari ini berkata dia tidak berniat menghina individu bertubuh gempal sebaliknya “luahan hati” terhadap situasi “manspreading” (lelaki terkangkang).
Semalam, Zaihani menggesa individu berat melebihi 60 kilogram agar tidak hadir acara fesyen kerana kehadiran mereka membuatkan orang lain “tidak selesa” untuk duduk di sebelah.
“Kalau berat badan melebihi 60 kilogram, tidak payahlah datang, sebabnya paha awak itu melimpah di kerusi sebelah kiri dan kanan awak,” coretnya di Facebook.
Sumber Isu ‘paha melimpah’: Kak Zai taat agama, tak tinggal solat