Hishammuddin: Dakwaan Rafidah tentang tanah tentera tak benar belaka

Menteri pertahanan berkata surat terbuka bekas menteri kepada Najib Razak itu penuh dengan maklumat salah.

VIDEO INSIDE

PETALING JAYA: Kerajaan menafikan dakwaan Tan Sri Rafidah Aziz mengenai puluhan ribu hektar tanah tentera yang didakwa diswastakan kepada sebuah syarikat tanpa tender terbuka.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata “surat terbuka” kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu mengandungi maklumat yang tidak benar, dan sekurang-kurangnya 3 dakwaannya “pembohongan nyata”.

“Saya percaya dia sangat tidak bertanggungjawab, sebagai seorang anggota Kabinet pada masa itu, dan sebahagian daripada keputusan yang dibuat, untuk membuat dakwaan palsu mengenai 3 isu ini…beliau tidak bertanggungjawab langsung,” katanya.

Hishammuddin menafikan dakwaan mengatakan satu syarikat milik 3 individu kini memiliki setiap inci tanah Kementerian Pertahanan (Kementah) atau tentera.

“Sama sekali tidak benar dan terang-terangan satu pembohonan,” katanya.

Rafidah dalam catatan di Facebook berkata pada penghujung 2008, menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, membentangkan kertas Kabinet untuk mendapatkan kelulusan untuk menswastakan lebih 40,000 hektar tanah milik Kementah atau tentera.

Rafidah berkata Najib turut mencadangkan penswastaan itu diberi secara terus kepada satu syarikat milik 3 individu, 2 lelaki dan seorang wanita, dengan tempoh pajakan selama 40 tahun, tanpa tender terbuka atau meminta sebut harga.

Bekas menteri perdagangan itu, yang berkhidmat selama 2 dekad bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata beliau mempersoalkan cadangan itu di mesyuarat Kabinet, antaranya mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak dipilih untuk cadangan penswastaan itu.

“Dakwaan bahawa syarikat ini didakwa membuat semua keputusan mengenai tanah Kementah atau tentera tidak benar,” katanya.

Rafidah juga merujuk kepada pengumuman Hishammuddin mengenai menjalankan projek pertanian komersial berskala besar di tanah milik kementerian yang terbiar.

Hishammuddin sekali lagi mengatakan dakwaan itu pembohongan sama sekali.

“Saya hanya memikirkan ‘keselamatan bekalan makanan negara’ bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek, 2-3 tahun lepas. Tidak ada apa yang berlaku sejak itu,” katanya.



The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Hishammuddin: Dakwaan Rafidah tentang tanah tentera tak benar belaka

Post a Comment

Previous Post Next Post