Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, beliau telah berjumpa dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan berhubung projek yang tertangguh sejak dua tahun lalu itu.
"Walaupun ia melibatkan isu dalaman, tetapi saya tidak pernah mengabaikan status SK Pulau Seduku begitu sahaja.
"Saya tidak berdiam diri kerana saya sudah mengadu dan merujuk perkara ini kepada Menteri Pendidikan," katanya.
Turut bersamanya dalam membawa ke tengah isu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.
Persoalannya, kata Rohani, yang merupakan anak jati Sri Aman, mengapa projek SK Pulau Seduku sengaja dijadikan isu?"Apa yang telah kita lakukan tidak pernah diambil perhatian dan saya akui apa yang berlaku sama sekali di luar bidang kuasa saya kerana semuanya berada di bawah tanggungjawab kontraktor dan sub kontraktor yang telah dilantik.
"Saya sebagai wakil rakyat, dari awal sekolah itu, sampai ke habis, saya pantau SK Pulau Seduku," katanya, sambil menambah, projek itu ketika ini sudah siap 80 peratus.
Menurutnya, beliau tidak pernah berat sebelah dalam menangani isu yang berlaku, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan nasib pelajar, guru dan ibu bapa, selain semua pihak yang selama ini masih memperjuangkan SK Pulau Seduku.
Dalam nada tenang Rohani memberitahu, beliau tidak pernah menghalang tindakan mana-mana pihak yang mahu menyuarakan hak masing-masing.
Cuma, katanya, beliau meminta pihak berkenaan percaya dan yakin, semua yang diusahakan pihaknya selama ini adalah demi membela nasib masyarakat Batang Lupar.
Pada Oktober tahun lepas, isu projek Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Lingga, Sri Aman yang lewat siap mendapat tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, suruhanjaya berkenaan sudah mula mengumpul maklumat khusus bagi mengenal pasti punca pembinaan gagal disiapkan mengikut jadual, termasuk pihak berkaitan projek berkenaan.
Turut mendapat liputan media, kisah 12 guru dan 26 murid SK Pulau Seduku yang 'bersabung nyawa' hampir setiap hujung minggu mengharungi ombak besar, selain ancaman buaya, ketika berulang-alik antara sekolah ke pekan berhampiran.
Astro AWANI turut bertanyakan status SK Pulau Seduku kepada Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Maadon, pada 1 April, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas.
SK Pulau Seduku merupakan salah satu daripada enam sekolah di Sarawak yang terlibat dalam program baik pulih bangunan sekolah dengan menggunakan teknologi sistem bangunan berindustri (IBS).
Ia sepatutnya siap pada Oktober 2016, tetapi sehingga kini masih terbengkalai.
Sumber Isu SK Pulau Seduku terbengkalai sudah dirujuk kepada kementerian - Rohani