Hati ibu bapa mana yang tidak bimbang bila anak mengadu sakit berulang kali biarpun sudah dibawa pergi berjumpa dengan doktor untuk buat pemeriksaan. 8 April lalu, Puan Siti Noor Ashikin meluahkan rasa kesalnya terhadap pihak berkaitan yang didakwa gagal mengesan punca penyakit anaknya.
Sebelum itu, anak lelakinya berusia lima tahun mengadu sakit di bahagian telinga dan timbul beberapa biji kelenjar di belakang telinga. Risau dan bimbang melihat keadaan anaknya itu, Puan Siti membawa anaknya pergi mendapatkan rawatan di klinik. Katanya, hampir kesemua doktor mengatakan anaknya mengalami sakit biasa dan biji kelenjar yang timbul itu adalah normal dan akan hilang dalam masa dua minggu.
Bagaimanapun, keadaan anaknya semakin hari semakin merosot biarpun sudah diberi antibiotik dan ubat demam. Sehinggalah beliau merujuk anaknya kepada doktor pakar buat kali kedua dan keputusan ujian darah menunjukkan terlalu banyak kuman di dalam darah dan hampir menjejaskan otak kanak-kanak berkenaan.
SATU malam ibu tak boleh tidur, fikirkan anak-anak. Tak tahulah kenapa hati ini rasa kesal sangat. Saja nak kongsi untuk peringatan semua, jangan ambil mudah kalau anak mengadu sakit. Bukan nak menyalahkan takdir, tetapi betul-betul rasa terkilan dengan pihak yang bertanggungjawab sebab masalah yang kecil sudah bertukar menjadi masalah yang besar buat seorang anak kecil.
Dari awal Aqif (Abang Cik) mengadu sakit dan kami terus bawa pergi ke klinik. Check di klinik saja dah sampai lima kali. Berulang pergi ke klinik minta doktor check bahagian dalam telinga sebab dia mengadu sakit dalam telinga dan di belakang telinga, naik biji kecil di belakang telinga. Malah Aqif demam on off tetapi sepanjang berulang ke klinik, doktor kata tak ada apa-apa dalam telinga dan biji itu pun normal.
Mula-mula sekali bawa dia pergi klinik, doktor pertama ini kata dia demam dan tongsil bengkak sikit. Doktor cuma beri ubat demam dan antiobitik sahaja. Okey, dalam empat hari makan ubat demam, langsung tak okey juga. Dia masih kata sakit dan menjelang malam dia tak boleh tidur.
Kali kedua bawa pergi ke klinik lagi sebab dia menangis kesakitan. Doktor kedua ini pula kata tonsil dia ada nanah pula. Kemudian check darah, ada kuman sikit. Doktor suruh sambung pengambilan antibiotik lagi seminggu. Tetapi waktu itu banyak kali tanya doktor mengenai biji di belakang telinganya normal atau tak. Doktor kata normal dan itu hanyalah biji kelenjar. Tetapi biji itu banyak, namun doktor masih kata normal. Okey, tak apalah.
Makan ubat dalam lima hari, demam masih tak kebah juga walaupun sudah bawa pergi ke klinik, dah makan ubat demam dan antibiotik, dia tetap sakit dan tak bole htidur. Sampailah satu malam ini dia mengadu sakit teramat sangat. Dia menangis sepanjang malam dan langsung tak boleh tidur. Diberi ubat tahan sakit pun tak berkesan. Dia meraung kesakitan dan menangis sampai tertidur lebih kurang jam empat pagi.
Keesokannya dia okey sikit tetapi masih kata telinganya sakit. Dalam waktu tengah hari itu baru perasan di tepi telinganya penuh dengan nanah bercampur darah. Waktu itu dah panik dan terus bawa Aqif pergi ke klinik.
Doktor periksa menggunakan skop dan katanya gegendang telinga Aqif dah pecah sebab ada nanah. Tapi tak mengapa, normal untuk budak dan akan pulih dalam masa dua minggu. Biarkan saja nanah itu keluar sampai kering.
Banyak kali saya minta pengesahan doktor apa yang berlaku pada Aqif ini normal ke? Doktor kata, "Ye puan, memang normal. Jangan risau, paling lama dua minggu. Selepas itu okey.". Tetapi bila tengok nanahnya banyak sangat nampak seperti tak normal, susah hati sangat.
Tak puas hati, keesokannya bawa pergi Jabatan Kecemasan di Hospital Klang. Doktor periksa dan kata benda yang sama, teruskan makan antibiotik dan biji di belakang telinganya itu adalah biasa. Memang sangat tak puas hati. Nanah keluar punyalah banyak. Setiap lima minit, keluar meleleh-leleh. Tetapi doktor masih juga kata itu normal. Waktu itu betul-betul rasa tak sedap hati, minta dirujuk ke pakar ENT. Okey, doktor buat surat dan rujuk pada Pakar ENT Hospital Klang.
Doktor pakar periksa dan cakap benda yang sama, normal dan ambil masa dua minggu untuk sembuh. Waktu itu rasa serabut sangat sebab semua doktor kata benda yang sama, cuma rasa yakin sikit sebab dah bawa Aqif jumpa Pakar ENT.
Selepas tiga hari kemudian, dia tetap mengadu sakit dan belakang telinganya semakin bengkak ditambah dengan demam. Tak puas hati, bawa dia pergi ke klinik sekali lagi. Tetapi doktor masih cakap benda yang sama. Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kami sebagai ibu bapa. Pening kepala sebab tak tahu anak sakit apa. Bagi ubat, tetapi demam tak kebah dan belakang telinganya semakin membengkak.
Untuk kali terakhir, sebab tak puas hati kami bawa pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Klang sekali lagi. Waktu itu mula-mula doktor kata bengkak biasa dan minta sambung beri antibiotik lagi. Saya mula tak puas hati.
"Berapa banyak nak bagi makan ubat? Ubat demam saja dah habis enam botol dan antibiotik pun dah habis dua botol. Nak sambung makan antibiotik lagi ke?" kata saya.
"Okey puan, sabar ya. Kita ambil darah dan kita panggil Pakar untuk datang tengok," kata doktor.
Tunggu lebih kurang sejam lebih, keputusan darah pun keluar dan doktor pakar panggil. Waktu itu memang rasa tak sedap hati sangat. Doktor pakar periksa telinga dan bengkak di belakang telinga Aqif dan dia jelaskan, keputusan darah menunjukkan kuman terlalu tinggi dan sel darah putih lebih banyak dari sel darah merah.
Allahu, waktu itu rasa nak terduduk. Kaki betul-betul tak kuat.
Bengkak di belakang telinga pula kena buat CT Scan, jadi malam ini kena admit. Malam itu admit, kena masuk antibiotik dan kena puasa terus. Keesokan harinya buat CT Scan. Dapat keputusan, doktor pakar pun datang ke katil dan jelaskan kepada kami, kena buat operation. Allahuakbar. Waktu itu memang air mata dah berlinangan. Tanya doktor kenapa perlu operate.
Doktor kata bengkak itu dah penuh dengan nanah dan nanah dah masuk ke dalam tulang kepalanya, menghakis tulang tempurung kepala serta hampir sampai ke bahagian otak. Kalau tak buat operation, kuman boleh masuk ke otak.
Waktu itu memang sedih bercampur rasa kesal dan marah. Saya tanya doktor itu, kenapa dari awal mereka tak dapat kesan? Sebab minggu lepas saya bawa anak datang jumpa pakar dan pakar kata tak ada apa-apa. Ini boleh pula kata dah teruk. Hal seperti ini boleh dibuat main-main ke?
"Kami tak sangka benda ini boleh jadi begini puan," kata doktor.
Waktu itu memang sakit hati betul dengar jawapannya. Terus terang saya kata saya rasa kesal sangat. Dalam seminggu anak saya boleh jadi begini. Kalau hari itu doktor periksa betul-betul, mungkin nanah itu tak merebak sampai ke tulang kepalanya dan hampir tembus otak. Terus doktor diam dan tak berani jawab.
Mengikut perancangan doktor, pertama, kena operate dan buang nanah itu dulu. Kemudian dalam masa seminggu kena diberi antibiotik dan tengok nanah dan kuman itu boleh hilang tak dalam tulang kepalanya. Kalau dalam masa seminggu nanah dan kuman masih ada dalam tulang kepalanya, maka terpaksa buat operation kali kedua yang tempurung kepalanya ditebuk untuk sedut nanah keluar. Ini berisiko tinggi dan mungkin akan ada pendarahan.
Hari ini (8 April) hari ketiga selepas operation, harap sangat kuman dan nanah itu akan hilang. Mohon jasa baik semua mendoakan anak saya Aqif Danish kembali sihat seperti sedia kala dan ada keajaiban dari Yang Maha Esa untuk memberi kesembuhan kepada Abang Cik.
InsyaAllah mudah-mudahan. Aamiin.
Harap sangat selepas ini doktor tak ambil mudah tentang kes seperti ini. Teraniaya anak kecil yang tak berdosa.
#PRAYFORABGCIK#
#5TAHUN 6BULAN#
Sumber 'Kalau hari tu periksa betul-betul, mungkin nanah tu tak merebak'
Tags:
thereporter