Kesal dan kecewa, penduduk serik tolak BN di Penampang

Darell Leiking pada PRU13 lalu menewaskan calon BN dengan majoriti 10,216 di kerusi parlimen Penampang. — Foto oleh Choo Choy MayDarell Leiking pada PRU13 lalu menewaskan calon BN dengan majoriti 10,216 di kerusi parlimen Penampang. — Foto oleh Choo Choy MayPENAMPANG, 18 April — Rakyat Penampang tidak mahu mengulangi kesilapan dilakukan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang menyaksikan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di kawasan tersebut dimenangi calon pembangkang.

Penduduk kesal serta kecewa kerana wakil rakyat pembangkang gagal membawa apa-apa pembangunan seperti yang diharapkan.

Seorang peniaga Cornellius Miller, 60, berkata dalam beberapa tahun ini penduduk daerah itu sudah menderita kerana tiada apa-apa pembangunan mahupun perubahan dibawa oleh wakil rakyat yang dipilih pada PRU13.

“Kami tiada wakil rakyat (kerajaan) dalam kawasan Penampang. Tiada guna. Kau ingat sajalah, berapa tahun sudah kita menderita (dalam pembangkang)...tiada apa-apa...Kita mesti ubah.

Cukuplah beberapa tahun kita berada di bawah pembangkang. Kita mesti mahu kerajaan yang boleh tengok kita,” katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Am Donggongon di sini, hari ini

Ketika meluahkan perasaannya, Cornellius berharap wakil rakyat kerajaan akan dipilih memimpin Penampang pada PRU14 demi membela nasib rakyat di kawasan itu selain komited membuat perubahan untuk kemaslahatan mereka.

“Sekarang ini, semua rakyat (Penampang) sudah sedar dan tidak payah lagi kempen. Kami akan sokong calon kerajaan dalam pilihan raya akan datang. Sekarang ini pun di Moyog tiada wakil rakyat kita (kerajaan)... Habislah kita...susah,” katanya.

Pada PRU13, calon Barisan Nasional tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada ketika itu Darell Leiking (kini Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah) bagi kerusi Parlimen Penampang dengan majoriti 10,216.

Dua kerusi DUN di bawah Parlimen Penampang iaitu DUN Moyog pula dimenangi calon PKR Terrence Siambun (kini Bendahari Parti Warisan Sabah), manakala DUN Kepayan dimenangi Dr Edwin Bosi (kini ahli Parti Anak Negeri) atas tiket DAP.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada memilih parti atau calon, seorang pekerja swasta Antihing Ansingon, 42, berkata calon mewakili setiap parti lebih menarik perhatiannya kerana karakter dan kredibiliti seseorang calon itu penting bagi menentukan mereka adalah wakil rakyat terbaik dipilih untuk mewakili suara rakyat.

“Setiap calon bertanding dan menang kerusi pilihan raya ini perlu prihatin dan sentiasa turun padang bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Lain pula pendapat seorang pesara, Christopher Sitalu, 58, yang lebih memilih parti  berbanding calon.

Christopher berkata parti yang bertanding dan menang dalam pilihan raya itu bakal memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada pembangunan dan kemajuan sesuatu kampung.

“Melalui parti, kita dapat bantuan daripada kerajaan. Namun, kalau diminta memilih calon, kita lihat siapa calon itu. Setiap calon dipilih mesti bijaksana dan kalau boleh mahu dalam kalangan pemimpin muda,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi peniaga Catherine Gabrie, 51, yang lebih memilih parti berbanding calon kerana berpendapat “siapa sahaja calon boleh, yang penting parti diwakilinya bagus.”

Bagi Judin Tinjil, 48, beliau mahu parti politik yang kuat dan memenangi PRU14 sekali gus menerajui kerajaan baharu selepas pilihan raya. — Bernama



Sumber Kesal dan kecewa, penduduk serik tolak BN di Penampang

Post a Comment

Previous Post Next Post