KUALA LUMPUR, 18 April — Tidak sama pilihan raya umum 9 Mei ini berbanding kemuncak asakan pembangkang terhadap Barisan Nasional lima tahun lalu.
Pada 2013, pertama kali dalam sejarah, pembangkang yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih jumlah undi popular lebih besar daripada BN.
Dalam tempoh itu, pelbagai perkembangan baru terus mempengaruhi politik negara, dipercayai menjadi faktor yang sedang dipertimbang pengundi.
ProjekMMO meringkas semula lapan perbezaan utama pilihan raya 2013 dengan yang bakal dihadapai mulai hari penamaan calon 28 April ini:
1. Mahathir calon perdana menteri (semula)
Tun Dr Mahathir Mohamad memang sudah beberapa tahun tidak berpuas hati pada pentadbiran Umno, termasuk menjelang pilihan raya 2008.
Namun hanya kali ini beliau berdiri sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan dengan bertanding semula, kali ini di parlimen Langkawi.
Membantu BN pada 2013, bekas perdana menteri itu kini bekerjasama semula dengan Anwar, malah menggunakan logo “mata lebam” bekas musuhnya itu.
Dulu Dr Mahathir berkempen membantu BN dan Datuk Seri Najib Razak, khususnya di Kedah yang ditandingi anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pada 2013, mantan perdana menteri mahu merampas Kedah daripada pembangkang, kali ini mereka cuba merampasnya daripada BN pula.
Dalam usaha tersebut Mukhriz, menteri besar Kedah yang disingkirkan, bertanding di kerusi negeri Jitra dan parlimen Jerlun.
Susulan pengumuman Dr Mahathir sebagai ketua PH dan kemudian calon perdana menteri, muncul #UndiRosak selama beberapa minggu walau kini diam.
2. Anwar di penjara, sekali lagi
Ketua umum PKR berada di luar penjara hanya pada dua kali pilihan raya umum, termasuk 2008 tetapi beliau tidak layak bertanding waktu itu.
Pada dua pilihan raya umum sebelumnya, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikannya dan dibantu anak sulungnya Nurul Izzah.
Menjelang 2013, beliau suka menggerakkan orang ramai melalui demonstrasi besar, misalnya dua himpunan Bersih 2.0, dan satu ceramah besar.
Namun Dr Mahathir, mungkin kerana sudah lanjut usia, tidak mengambil pendekatan itu sejak menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Parti serpihan Umno ini dilihat sama ada tidak aktif atau menjalankan kempen senyap-senyap di kalangan penyokong parti lamanya.
Dibebaskan awal Jun ini, Anwar tidak dapat membantu Dr Mahathir untuk mengasak BN walau ramai menjangkakan gabungan mereka memeningkan BN.
Anwar hanya boleh aktif semula berpolitik jika mendapat pengampunan diraja. Ia boleh dicapai jika pembangkang menguasai Putrajaya.
Sehingga Putrajaya dicapai, hasrat isterinya menjadi timbalan perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan hanya tinggal harapan.
3. Cukai GST diperkenal tiga tahun lalu
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenal pada April 2015 tetapi perbahasan isu tersebut bermula sejak hujung 2013 lagi.
Pembangkang mengaitkannya dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup tetapi pemimpin kerajaan menyalahkan orang tengah.
Isu kos sara hidup dan GST memprihatinkan banyak pihak dan dijangka menjadi satu faktor yang dipertimbangkan untuk memilih parti bertanding.
Tinjauan Merdeka Center tahun lalu menunjukkan 51 peratus anak muda risau masalah inflasi dan 56 peratus rasa ekonomi mereka lebih merosot.
Pakatan Harapan berjanji akan menghapuskan GST dalam manifestonya dan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
4. PAS di luar gabungan utama pembangkang
PAS meninggalkan gabungan besar pembangkang, menjadikan sejarah pertembungan tiga penjuru paling besar kali ini sejak 1990.
Parti Islam sejak itu selalu bersama gabungan pembangkang, termasuk Barisan Alternatif pada 1999 dan Parti Melayu Semangat 46.
DAP pula tidak bersama gabungan pada 1995 dan 2004 walau bersama PKR dan PAS menjelang 2008 sebelum kemenangan besar mencetuskan Pakatan Rakyat.
Semalam PAS dilaporkan ingin meletakkan 160 calon kerusi parlimen, meningkat lagi daripada ura-ura asal bertanding di 140 daripada 222 kerusi.
Selain perpecahan ketara yang menguntungkan BN, PAS juga kehilangan tokoh utamanya Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mempertahan Kelantan.
Meninggal dunia pada Februari 2015, arwah semasa hidupnya dianggap tokoh paling kanan yang percaya pada kesatuan gerakan parti pembangkang.
Setelah ketiadaannya, dua hari selepas Anwar dipenjara, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat lebih “matang dan sejahtera” terhadap Umno.
Susulan itu, PAS memutuskan kerjasama dengan PKR sejak 1999 walau mengekalkan pemimpinnya dalam pentadbiran Selangor yang diketuai PKR.
Pada 2013, ia membantu menteri besar PKR Tan Sri Khalid Ibrahim. Kali ini ia bersama Khalid menentang Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
Begitu juga bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Dulu membantu Pakatan Rakyat menang, kali ini cuba menumbangkan PH di Selangor.
Pada 2016, Abdul Hadi membentang usul pindaan Akta 355 untuk memperkasa mahkamah syariah, ke arah pelaksanaan hudud, tetapi tidak dibahaskan.
5. Tiga parti serpihan: Amanah, Bersatu + Warisan
Kejayaan besar pembangkang pada 2013 tidak kekal lama apabila krisis menteri besar Selangor dan pergaduhan PAS muncul setahun kemudian.
Krisis ini menyebabkan hubungan DAP-PAS putus sebelum muncul serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2015 yang mahu bersama Pakatan.
Kemudian muncul pula isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan lebih hangat, antaranya dibawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2015.
Isu ini asalnya dibangkitkan Anwar di Parlimen dua tahun sebelum pilihan raya 2013 tetapi ia menjadi isu panas mulai tiga tahun lalu.
Susulan itu, Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal dipecat daripada kabinet pada Julai 2015 sebelum disingkir daripada Umno setahun kemudian.
Bersama Dr Mahathir dan anaknya, juga dipecat daripada Umno pada Jun 2016, beliau menubuhkan PPBM pada September, setahun selepas Amanah muncul.
Digantung keahlian Umno pada Jun tahun sama, Shafie tidak lama kemudiannya menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mencabar BN di negeri itu.
Parti ini tidak menyertai PH, dipercayai akibat tanggapan negatif warganya terhadap Dr Mahathir yang didakwa memulakan Projek IC pada 1990-an.
6. Isu 1MDB
Kekecohan angkara isu 1MDB memaksa kerajaan membenarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasatnya mulai Mei 2015.
Walau ketua asalnya Datuk Nur Jazlan Mohamed ditukar dalam rombakan kabinet, siasatan diteruskan termasuk dibantu audit Jabatan Audit Negara.
Tetapi sebahagian laporan audit ini terbocor, lalu ia dikelaskan sebagai rahsia rasmi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada awal 2016.
Naib presiden PKR Rafizi Ramli enggan tunduk, lalu mendedahkan sebahagian kecil audit itu pada Mac, menyebabkan beliau diheret ke mahkamah.
Pada 2013, keberaniannya mendedahkan isu projek NFC memenangkan beliau di Pandan dengan majoriti 26,729 undi tetapi kali ini kes OSA menyekatnya.
Selain didapati bersalah mendedahkan maklumat bank kes berkaitan NFC Februari lalu, Rafizi juga bersalah bawah OSA pada November 2016.
Tewas di peringkat rayuan awal Ogos lalu, beliau dihukum penjara 18 bulan kes OSA dan 30 bulan lagi bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia).
PAC membentang laporan siasatan isu 1MDB pada April 2016. Namun isu tersebut terus menjadi bualan ramai di sebalik penafian kerajaan.
Lebih setahun kemudian Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan dakwaan isu itu pula dan menggamatkan semula isu ini.
Setelah isu ini sejuk, tiba-tiba muncul pula kontroversi penahanan kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan 1MDB di Bali pada Februari lalu.
Namun sebuah mahkamah Jakarta semalam memutuskan penahanan itu “tidak sah”.
Sepanjang isu 1MDB muncul, kerajaan dilihat berjaya menanganinya dengan baik walau pembangkang cuba memainkan isu ini habis-habisan.
Tinjauan Merdeka Center Ogos tahun lalu menunjukkan anak muda tidak memberi perhatian pada isu 1MDB dan pindaan Akta 355 yang dibawa PAS.
Hanya enam peratus responden bawah 30 tahun prihatin isu besar 1MDB dan dua peratus lagi peduli isu pindaan kontroversi itu yang gagal dibahaskan.
7. PKR dipilih logo bersama PH
Walau dua parti serpihan dalam gabungan empat komponen PH dibentuk lambat, ia mencapai beberapa keputusan menggemparkan tahun ini.
Ia mengumumkan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah masing-masing sebagai calon perdana menteri dan timbalan sebelum memutuskan logo bersama PKR.
Dua tokoh itu diumumkan pada 8 Januari, sementara keputusan menggunakan logo bersama pembangkang, yang merekodkan sejarah, pada 6 April lalu.
Namun ia berdepan masalah pembubaran PPBM pula. Dua hari sebelum Parlimen dibubarkan 7 April lalu, ia dibubarkan sementara selama 30 hari.
8. Persempadanan semula, tangguh sejak 2004
Pilihan raya kali ini menyaksikan sempadan baru, digazet hujung Mac lalu, setelah ia dibuat paling akhir menjelang pilihan raya April 2004.
Setiap kali berlaku persempadanan semula, pembangkang mendakwa ia menguntungkan parti kerajaan walau dakwaan disangkal kerajaan.
Keputusan pilihan raya 2008 menunjukkan pembangkang mendapat manfaat daripada persempadanan sebelumnya walau BN menang besar pada 2004.
Pembangkang risau beberapa kerusi yang dimenangi pada 2013 akan tewas.
Mereka juga mempertikai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan hari mengundi pada Rabu, berbeza pada Ahad untuk pilihan raya 2013.
Namun hari tersebut, 9 Mei, telah diumumkan hari kelepasan khas bagi memudahkan orang ramai keluar mengundi.
Dulu tempoh berkempen lebih panjang lima hari, kali ini SPR memperuntukkan masa selama 11 hari sahaja. Namun tempoh ini tidaklah ganjil.
Semasa pentadbiran Dr Mahathir, tempoh berkempen pada tiga kali pilihan raya hanya 10 hari. Pada 2004, tempohnya hanya lapan hari.
Masih banyak faktor kecil dan besar tetapi sebahagian yang ketara membawa sedikit sebanyak kesan pada pengundi dinyatakan seperti di atas.
Sumber Lapan faktor baru dalam PRU, siapa untung siapa rugi?