Orang Melayu tidak mungkin beralih sokongan selagi PH belum mempunyai kekuatan representasi Melayu di dalamnya sebagaimana dominan Umno dalam BN.
KOMEN
Oleh Mohd Darus Ismail
Justifikasi kepimpinan PKR bagi kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk memastikan tsunami Melayu berlaku.
Sekiranya menjadi kenyataan, maka Umno dan Barisan Nasional (BN) dapat dikalahkan.
Inilah pendekatan yang perlu diambil, kerana itu PKR bersedia untuk bergabung dengan Dr Mahathir atas matlamat itu sehingga membenarkan orang yang menzalimi ketua umum mereka menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Tsunami Melayu yang dimaksudkan adalah peralihan undi orang Melayu daripada BN kepada Pakatan Harapan (PH).
Bagi PKR dan sekutunya, Dr Mahathir dapat merealisasikan cita-cita menumbangkan BN dan Umno dengan sokongan orang Melayu kepada bekas perdana menteri itu.
BN pula dituduh dalam media-media pembangkang sebagai membesarkan isu tsunami Melayu untuk menakut-nakutkan Melayu, kerana jika ia berlaku, maka DAP akan dapat merealisasikan matlamat “Malaysian Malaysia” mereka.
Bagi BN dan Umno, tsunami Melayu akan memupuskan agenda orang Melayu dan sebenarnya mencabar institusi Bumiputera.
Adakah tsunami Melayu ini akan berlaku? Adakah Dr Mahathir mampu membawa peralihan undi orang Melayu dan menyulitkan orang Melayu, jika ia berlaku?
Apa kekuatan Dr Mahathir dalam konteks membawa orang Melayu keluar daripada menyokong BN berbanding perhubungan Umno yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
Sesuatu yang menarik ialah perjuangan Dr Mahathir adalah untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Razak dan dikatakan dalam usaha ini, Umno perlu dikorbankan.
Kehadiran beliau dalam PH untuk memastikan undi orang Melayu berpihak pada pembangkang.
Tidak ada penjelasan Umno tidak memperjuangkan orang Melayu untuk menjadi alasan bagi orang Melayu mengalih undi menyokong pembangkang.
Apa yang kita nampak ialah Umno adalah wadah perjuangan unggul orang Melayu dan alasan Umno tidak memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu yang merupakan agenda utama Umno adalah dangkal.
Kolaborasi dalam komponen BN adalah memastikan tidak ada diskriminasi terhadap mana-mana kaum dan toleransi ini diwujudkan bersama.
Bagi tsunami Melayu berlaku atau sokongan beralih dari Umno ke PH, perkara khusus yang perlu dilakukan adalah untuk membuktikan Umno bukan wadah perjuangan orang Melayu.
Adakah Umno bukan lagi wadah perjuangan orang Melayu?
Sehingga kini, Umno masih relevan untuk menjadi suara orang Melayu dan belum nampak tanda-tanda orang Melayu sudah menolak Umno sebagai parti yang memperjuangkan kedudukan orang Melayu.
Dr Mahathir dalam perkara sama juga tidak dapat menolak dalam mengatakan Umno banyak berjasa kepada orang Melayu.
Kehadiran Umno sebagai wadah perjuangan Melayu merupakan teras kepada kekuatan Melayu dan kepimpinan baik sesiapa pun pasti akan akur terhadap kehendak akar umbi dalam memastikan nasib orang Melayu terbela.
Adakah orang Melayu dengan mudah akan menolak Umno dan berpaling kepada PPBM, satu-satunya parti Melayu dalam PH?
Adakah orang Melayu akan berpaut kepada parti yang hanya ditubuhkan untuk menzahirkan cita-cita Dr Mahathir dan kekuatan parti itu tidak dapat diakui lagi?
Orang Melayu perlu sedar dalam gabungan PH, komponen lain adalah lebih dominasi ke atas PPBM yang dianggap hadir dengan matlamat menjatuhkan Najib.
Lihatlah bagaimana PPBM hanya diberikan 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dalam rundingan kerusi PH, sedangkan PKR mendapat 22 dan DAP 18.
Orang Melayu juga perlu sedar, sekiranya PH menang, dominasi parti Melayu PPBM tidak sehebat yang lain dalam gabungan itu dan pembentukan kerajaan baru tidak diwakili secara menyeluruh oleh parti Melayu sebagaimana Umno mewakili BN.
Oleh itu, orang Melayu tidak mungkin beralih sokongan selagi PH belum mempunyai kekuatan representasi Melayu di dalamnya sebagaimana dominan Umno dalam BN.
Atur kira bahawa Melayu akan beralih semata-mata kehadiran Dr Mahathir – tidak nyata, lebih-lebih lagi “image” Dr Mahathir telah lengkap diburukkan sewaktu beliau berhadapan dengan penentangan 1998, Reformasi anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesimpulannya, orang Melayu akan tetap menerima Umno sebagai wadah kukuh orang Melayu dan menggantikan Umno semata-mata kehadiran Dr Mahathir berkempen adalah tidak berasas.
Ini kerana, realitinya, tsunami Melayu yang dimahukan PH, dengan menjadikan Dr Mahathir sebagai ikon sokongan Melayu tidak akan menjadi kenyataan.
Ia hanyalah angan-angan!
Mohd Darus Ismail ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Khayalan tsunami Melayu